23.10.09

Kegawatan Bahasa Melayu

Sekarang siapakah yang benar-benar peduli dan sebulat kata memperkatakan masalah kegawatan bahasa Melayu? Berulang cetak media perdana menyampaikan suara penulis celik bahasa, namun di mana kesudahannya?

Mungkinkah suatu hari nanti akan berkubur bahasa linggua franca ini? Dapatkah generasi akan datang mencari kubur tak bernisan ini?
Menangiskah anak cucu Adam abad 30 nanti pabila mengetahui datuk nenek era kini langsung tidak bangun memperjuang dan mempertahankan kedaulatan bahasa mereka ? atau mungkin mereka nanti tiada lagi bahasa ibunda ini?

Bimbang, takut malah amat ngeri sekali memikirkan nasib bahasa sendiri… mengharap pada remaja , rasanya bagai mewarna pelangi di malam hari kerana mereka turut melabur dalam menjahanamkan bahasa sendiri. Bahasa SMS yang digunapakai di paparan telefon bimbit turut menjadi fesyen penulisan sesama mereka yang pastinya menumpulkan lagi ilmu bahasa itu sendiri.

Mengharapkan golongan ibu bapa…semacam rojak bahasa mereka ekoran pendidikan yang diterima. Ada yang menggabungkan perbualan seharian dengan pelbagai bahasa, pasti tentunya tidak menghiraukan subjek dan pradiketnya. Apatah lagi Kata Nama, Sendi Nama, dan aspek tatabahasa lainnya. Ada yang langsung malu untuk berbahasa Melayu demi taraf sosial yang kononnya menjadi benteng pemisah pemikiran dan darjat masyarakat.

Menadah harap kepada barisan pemimpin mengukuhkan kedaulatan bahasa, entahlah! Ramai dalam kalangan mereka begitu gagah dengan slogan dan bicara tetapi nyatanya bahasa Melayu masih merintih di bawah tangga. Semakin banyak slogan,kempen dan idea dilontarkan, semakin sarat ketidakpercayaan rakyat kepada kalian!

Kini, dahan yang teguh masih ada di bahu pejuang bahasa, pemikir bahasa, penulis bahasa, serta para pendidik yang mengajar eja dan baca. Roda sentiasa berpusing. Hari ini kita dibaham tapi percayalah hasil kerja kita yang sayang dan cintakan bahasa sendiri pasti akan berjaya jua.Insyaallah.

18.10.09

Selamat Datang

KITA BERUSAHA...KITA BERKORBAN...KITA BERSERAH