17.5.10

Ganjaran berdasar prestasi - TPM

Berita baik kepada semua pengetua, guru besar dan guru.

Bermula tahun depan, mereka layak menerima wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Wang ganjaran itu akan dibayar berdasarkan prestasi sekolah masing-masing yang dinilai pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, Gambang dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan kenaikan pangkat seramai 15,320 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan 9,969 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Bukan Siswazah (PPPLD) bermula April lalu.

Muhyiddin berkata, wang ganjaran tersebut merupakan 'tawaran baru' kepada golongan pendidik supaya mengutamakan pencapaian dan keberhasilan sekolah masing-masing.

Menerusi tawaran itu, jelas beliau, pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai sasaran KPI bagi sekolah masing-masing bakal menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500 seorang.

''Guru-guru di sekolah sama yang berada dalam kumpulan lima peratus ke atas pula akan menerima wang ganjaran sebanyak RM1,800 seorang dan 95 peratus guru berikutnya akan mendapat ganjaran RM900 seorang.

''Ganjaran ini akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit iaitu lonjakan sebanyak 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah," katanya.

Hadir sama pada majlis sambutan itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Muhyiddin memberitahu, semua pengetua, guru besar dan guru mungkin menerima wang ganjaran tersebut setiap tahun jika mampu meletakkan sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit yang ditetapkan.

''Wang ganjaran itu bukan dibayar sekali sebaliknya mungkin berkali-kali berdasarkan rekod pencapaian sekolah terbabit," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kenaikan pangkat bagi 25,289 PPPS dan PPPLD meliputi tiga kategori iaitu mengikut tempoh (time based) selama 10 tahun, guru cemerlang dan kenaikan secara hakiki bagi gred DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54.

''Kenaikan ini merangkumi pegawai yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, pensyarah institut pendidikan guru dan guru.

''Selain itu, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48 dan DG52 bagi PPPS," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga, ujar Muhyiddin, bersetuju supaya urusan kenaikan pangkat secara mengikut tempoh gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPS) dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.

Sejajar dengan matlamat kerajaan meningkatkan kualiti guru, katanya, PPS yang memperoleh ijazah doktor falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan bermula tahun ini.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin memberitahu, pihaknya telah mengarahkan satu sistem pemantauan penempatan yang lebih cekap dan adil diwujudkan bagi mengatasi masalah guru yang bertugas di pedalaman.

Tegasnya, maklumat mengenai tempoh perkhidmatan guru di pedalaman perlu dikemas kini secara atas talian bagi memastikan mereka yang telah lama berkhidmat di kawasan itu diberi peluang bertugas di bandar pula.

''Dengan sistem pemantauan yang lebih cekap dan adil ini, kita akan dapat menjamin bahawa guru yang ditempatkan di luar bandar tidak disisihkan atau diabaikan," katanya.

Rujuk [U.Malaysia-17/5/2010]

16.5.10

Ganjaran RM900-RM7,500 untuk pengetua, guru sekolah cemerlang

Ganjaran kewangan antara RM900 hingga RM7,500 akan diberi sebagai insentif kepada pengetua, guru besar dan guru bagi sekolah yang mencatat prestasi cemerlang dan mencapai indeks petunjuk utama (KPI) Kementerian Pelajaran mulai tahun ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata 25,289 guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan kategori DGA32, DGA34, DGA44, DGA48, DGA52 dan DGA54 akan menikmati kenaikan pangkat. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan demikian ketika berucap pada majlis perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di sini, sebentar tadi.

Senarai komen [HJJH NORHAME ELIZA]

Terima kasih kepada KPM atas ganjaran-ganjaran yang diberikan kepada guru Malaysia. Bagi guru besar mengharapkan ELAUN GURU BESAR RM100.00 sebulan mendapat perhatian pihak yang berkenaan.Guru Besar mengurus sekolah hanya mendapat RM100.00 berbanding guru mata pelajaran yang mengajar Sains, bahasa Inggeris dan Matematik mendapat 10% daripada gaji, begitu juga elaun warden asrama lebih jauh tinggi dari elaun guru besar. Guru Besar juga mengharapkan pengumuman ELAUN KERAIAN bagi guru besar dimasukkan dalam gaji seperti pengetua. Tetapi itu tidak berlaku. Begitu juga penolong Kanan di sekolah rendah hanya menerima RM60.00 sebulan sedangkan beban tugas mereka mengurus bidang mereka juga berat. Kita mengharapkan ini termasuk dalam apa yang diumumkan Menteri Pelajaran. Tetapi tidak. Mintalah disemak semula elaun-elaun yang disebutkan di atas supaya ia setimpal dengan tugas. sekian.

Komen [vicky]


Saya merasakan ganjaran insentif kepada pengetua atau guru besar haruslah dikaji dengan teliti. Sekiranya pretasi sekolah diambil kira maka banyak lagi soalan tambahan yang patut diteliti dahulu. Sekolah-sekolah premier atau bistari mengambil pelajar cemerlang UPSR (5A) untuk memasuki sekolah menengah. Kejayaan sekolah berkenaan bukanlah 100 peratus disebabkan guru besar atau pengetua sekolah tersebut. Ibu-bapa adalah antara penyumbang kejayaan pelajar dengan mengantar ke pelbagai tuisyen. Sekira segelintir pelajar yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan dalam UPSR diterima masuk ke sekolah biasa, jika sekolah ini dapat melahirkan beberapa pelajar cemerlang maka saya merasakan guru yang mengajar mereka haruslah dihargai. sekian terima kasih dari saya.

Rujuk [B.Harian-16/5/2010]

Hadiah untuk guru

Lebih 20,000 guru, termasuk pengetua dan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) serta guru besar dijangka menikmati kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain yang akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena Hari Guru peringkat kebangsaan yang disambut di Kuantan, hari ini.

Selain itu, pelbagai insentif lain juga dijangka diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran termasuk langkah mengurangkan beban kerja yang selama ini ‘menghantui’ golongan ini.

Sumber berkata, kenaikan pangkat yang membabitkan kategori DGA32 hingga DGA54 turut merangkumi pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, pejabat pelajaran daerah dan pensyarah Institut Pendidikan Guru.

Katanya, ketika ini guru besar bukan siswazah di sekolah kurang murid kebanyakannya memegang gred DGA32 manakala guru besar di sekolah gred A, DGA34.

“Bagi sekolah menengah, kebanyakan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) berada dalam gred DGA44 berbeza dengan PK Pentadbiran dalam gred DG48. Mungkin ada penyeragaman pangkat di antara mereka,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Sumber itu berkata, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan satu tawaran baru iaitu ganjaran kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing.
Selain itu katanya, ganjaran juga dijangka diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah.

Bagaimanapun katanya, Muhyiddin akan memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara berkenaan ketika mengumumkannya.

Sumber itu juga berkata, ganjaran yang diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru pula lebih kepada pencapaian dan prestasi yang dicapai sekolah mengikut ketetapan kementerian.

Mengenai beban tugas guru yang diberikan perhatian serius oleh Muhyiddin, beberapa tindakan juga dijangka diambil. Antara bebanan yang dijangka dikurangkan ialah tugas perkeranian yang sebelum ini menjadi bebanan guru sehingga mengganggu tugas hakiki mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Selain itu, katanya, kursus yang akan dihadiri guru juga akan diselaraskan supaya tidak berlaku pertindihan. Ini bagi mengelak guru yang sama mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan.

Sumber itu berkata, pembahagian tugas di sekolah juga akan diberi perhatian dengan mengagihkan tugas secara adil bagi mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada guru tertentu saja.

Katanya, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan ganjaran untuk mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman yang bakal dinikmati semua guru selain mengambil kira tempoh perkhidmatan mereka di kawasan berkenaan.

“Ini bermakna guru yang lama berkhidmat di kawasan pedalaman kemungkinan berpeluang untuk mengajar di kawasan bandar begitu juga sebaliknya,” katanya.

Sumber juga berkata, pengumuman Muhyiddin itu adalah antara 10 perkara yang dibincangkan kesatuan guru dengan Kementerian Pelajaran. Namun, atas dasar penjimatan, beberapa tuntutan tidak dapat dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kementerian tidak mungkin menaikkan elaun wilayah walaupun beberapa tuntutan mengenai perkara itu sudah dibangkitkan kesatuan guru beberapa kali.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.
Dasar itu, katanya akan mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar dari segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.

Ketika ini, ada 400,000 guru di seluruh negara, termasuk pengetua, guru besar, penolong kanan serta pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan pejabat pelajaran daerah.

Rujuk [B.Harian-16/5/2010]

15.5.10

Kerajaan mesti beri insentif boleh dinikmati majoriti guru

HARI Guru disambut esok. Satu-satunya hari untuk mengenang jasa guru yang banyak berjasa mendidik anak bangsa.

Sudah menjadi kelaziman sejak kebelakangan ini, setiap kali Hari Guru disambut pada peringkat kebangsaan, beberapa insentif menarik akan diumumkan untuk guru.

Namun, saya ingin mengemukakan pandangan mewakili kebanyakan guru yang tidak pernah mendapat apa-apa daripada insentif itu. Majoriti guru mengharapkan insentif yang diberi dinikmati sekurang-kurangnya 90 peratus guru. Namun, apa yang berlaku, insentif hanya dinikmati tidak sampai 10 peratus guru, contohnya anugerah Guru Cemerlang, kenaikan pangkat dan mewujudkan gred kenaikan pangkat baru.

Harapan guru pada tahun ini, kerajaan lebih mengambil kira majoriti guru dalam memberikan insentif.

Bukan wang dan pangkat dijadikan keutamaan kerana lebih penting daripada kenaikan pangkat dan jawatan serta wang ialah menjaga kebajikan guru secara keseluruhannya.

Beban tugas guru sudah tidak dapat dinafikan lagi. Guru tidak dapat memberikan fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran kerana dibebani tugas perkeranian. Apa salahnya, jika Kementerian Pelajaran mewujudkan pembantu guru, meletakkan jawatan guru data di luar norma perjawatan dan mewujudkan jawatan guru media di semua jenis sekolah.
Menjadikan jawatan Guru Penolong Kanan di sekolah gred B dan Sekolah Kurang Murid (SKM) sebagai jawatan luar norma, menaik taraf semua bilik guru, mewujudkan sekolah berasrama penuh untuk anak guru, memberikan pinjaman kerajaan untuk membeli kenderaan dan sebagainya.

Semua insentif itu lebih bermakna bagi majoriti guru dan meringankan sedikit beban serta guru dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran. Murid pula mendapat lebih perhatian daripada guru dan seterusnya negara juga mendapat modal insan berkualiti.

Jika insentif seperti itu diumumkan, pasti ramai guru gembira dan dapat merasai faedahnya berbanding yang hanya dinikmati sebahagian kecil guru.
Alasan implikasi kewangan pasti dijadikan sebab cadangan ini tidak dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, wajar diingat sekolah adalah tempat menjana modal insan yang perlu diberi keutamaan kerajaan.

Insentif kewangan, penambahan gred dan kenaikan pangkat perlu dikurangkan kerana hanya menyebabkan gred gaji guru semakin cacamerba.

Diharap cadangan ini membuka mata pihak berkaitan agar lebih memahami suara majoriti guru, namun tidak melupakan mereka yang minoriti. Selamat Hari Guru.

GURU BIASA,
Banting, Selangor

Rujuk [B.Harian-15/5/2010

14.5.10

Kerjaya guru tidak dapat pengiktirafan, penghargaan sewajarnya

PADA 16 Mei ini kita akan menyambut Hari Guru. Ia acara tahunan bagi mengenang jasa dan pengorbanan guru.

Setiap tahun bekas guru akan dinobatkan sebagai tokoh guru. Dicadangkan agar bukan saja anugerah tokoh guru, tetapi diadakan juga anugerah guru cemerlang, bagi guru masih berkhidmat.

Mungkin boleh diadakan mengikut kategori seperti sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan atau lain-lain kategori yang bersesuaian, sebagaimana hari pekerja dengan pekerja cemerlang diberi anugerah mengikut kategori.

Profesion guru yang sarat dengan cabaran, tanggungjawab dan beban kerja, tetapi agak kurang dari segi kemudahan dan keselesaan berbanding kerjaya lain.

Selain pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru juga melakukan tugas lain seperti perkeranian, biasiswa, buku teks, PIBG mengendalikan pelbagai acara sekolah dan kerja di luar bidang akademik.

Dari segi kemudahan dan keselesaan memang jauh beza antara guru dengan kerjaya lain. Cikgu berkongsi bilik guru beramai-ramai walaupun gred 41 ke atas. Berbanding pegawai kerajaan gred 41 yang bekerja di pejabat, duduk satu bilik seorang, ada kemudahan lif sedangkan guru naik turun tangga pergi ke kelas hingga tingkat tiga atau empat.

Pegawai kerajaan gred 48 ke atas ada setiausaha atau pembantu peribadi (PA) tetapi guru tidak ada, mahu fotostat atau taip surat pun kena buat sendiri, sedangkan dari segi gred sama. Itu belum dikira dari segi kemudahan lain seperti kereta yang dibekalkan khas untuk jawatan, pemandu dan sebagainya.
Daripada sudut penghargaan dan pengiktirafan, guru juga ketinggalan jauh berbanding bidang lain. Berkhidmat 30 tahun pun belum tentu mendapat pingat, ketua kampung lebih ramai terima pingat berbanding cikgu.

Bahkan mungkin ada pengarah pelajaran negeri masih bergelar Encik atau Tuan Haji. Sedangkan pegawai kerajaan dalam sektor lain terutama pasukan beruniform jika gred 54 mungkin sudah mendapat gelaran Datuk.

Apa yang sering disuarakan oleh kesatuan guru, beban kerja guru memang kenyataan yang tidak dapat dinafikan, hanya mereka yang bergelar cikgu mengalami dan memahaminya.

Memang tepat pada masanya kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru, jawatankuasa ini sewajarnya bukan saja melihat kepada beban kerja guru, tetapi juga perlu melihat dari pelbagai sudut seperti laluan kerjanya, kemudahan, keselesaan, penghargaan dan lain-lain.

Diharapkan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran dapat meneliti permasalahan ini demi kebajikan guru yang menabur bakti dan jasa mendidik anak bangsa sekali gus membangunkan negara.

BASHARUDDIN HASHIM,
Alor Setar, Kedah.

Rujuk [B.Harian-14/5/2010]

5.5.10

Panduan Cuti Tanpa Gaji Mengikut Pasangan Bertugas atau Berkursus Di Dalam atau Luar Negeri

Sukacita dimaklumkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), KPM telah mengedarkan Panduan Cuti Tanpa Gaji Mengikut Pasangan pada 23 Mac 2010. Untuk maklumat lanjut sila rujuk lampiran. [Rujuk]

Sesi Penilaian Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB)

Dimaklumkan bahawa Sesi Penilaian Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB) akan diadakan bermula pada 11-13 Mei 2010. Calon-calon yang layak untuk ke Sesi Penilaian CBBP TB akan dihubungi melalui surat (faks) dan/atau panggilan telefon. Pemohon CBBP TB yg tidak dihubungi oleh Bahagian ini adalah dianggap tidak berjaya. [Rujuk]

3.5.10

Transformasi kurikulum jadikan pembelajaran menyeronokkan

Program transformasi kurikulum yang sedang dilaksanakan memberi penekanan kepada pembelajaran yang menyeronokkan dan membabitkan perubahan dalam bentuk serta kandungan penjadualan waktu, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata transformasi kurikulum itu bagaimanapun masih berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) walaupun menggunakan pendekatan yang berlainan. "Transformasi ini turut memberi penekanan yang lebih kepada pentaksiran berasaskan sekolah, meningkatkan pembabitan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rashid Ngah di sini.

Abdul Rashid, dalam soalannya ingin, tahu tentang apakah yang dimaksudkan dengan transformasi pendidikan dan adakah ia memerlukan kajian semula ke atas dasar dan falsafah pendidikan negara.

Wee berkata, transformasi kurikulum ini turut membabitkan pengukuhan dan pemantapan sifat serta peribadi pelajar yang berasaskan kepada enam tunjang iaitu komunikasi, kerohanian sikap dan nilai, kemanusiaan, fizikal dan estetika, literasi sains dan teknologi, serta ketrampilan diri bagi melahirkan insan holistik.

"Kaedah ini adalah untuk memastikan kurikulum yang diajar berjaya membentuk dan melahirkan murid yang mempunyai peribadi kental dalam menangani masalah sosial yang wujud di kalangan masyarakat hari ini," katanya.

Beliau berkata, dalam proses transformasi itu, elemen inovasi, keusahawanan dan teknologi maklumat diajar secara ekplisit kepada murid selain menyediakan ruang dan peluang untuk membangunkan modal insan yang lebih holistik, berpengetahuan serta berfikiran kreatif, kritis dan berinovatif.
Wee berkata, transformasi kurikulum pada peringkat pra-sekolah mula dilaksana tahun ini, manakala peringkat sekolah rendah akan mula dilaksanakan tahun depan untuk murid Tahun 1 dan sekolah menengah bermula dengan murid Tingkatan 1 pada 2012.

Menjawab soalan Senator Datuk Akbar Ali mengenai bagaimana transformasi boleh merealisasikan Model Ekonomi Baru sekurang-kurangnya dalam aspek struktur guna tenaga, Wee berkata kementerian sentiasa melakukan pembaharuan dalam aspek literasi sains dan teknologi yang terdapat dalam enam tunjang utama transformasi.

"Mungkin sudah tiba masa untuk menambah subjek vokasional dan teknikal di sekolah menengah bagi membantu pelajar yang langsung tidak boleh belajar.

"Kita akan guna platform ini untuk latih mereka, mungkin tingkatan empat atau lima untuk dapat Sijil Kemahiran Malaysia tahap kedua, sekurang-kurangnya sebagai asas untuk latih mereka kuasai ilmu dan seterusnya memenuhi pasaran luar," katanya.

Rujuk [B.Harian-3/5/2010]

2.5.10

Kesatuan guru mohon ditimbang 11 insentif

Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.

'Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.

'Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

'Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,' katanya.

Rujuk [U.Malaysia-2/5/2010]

1.5.10

PIBG perlu bentang maklumat SIP

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu membentangkan maklumat mengenai Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) setiap kali mereka mengadakan mesyuarat bulanan atau tahunan bagi memastikan pelaksanaan program itu mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional(PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan (gambar) berkata, PIBG harus bekerjasama untuk menyenaraikan keperluan dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di sekolah masing-masing.

'Kami menyambut baik mekanisme penambahbaikan sistem di sekolah dan sedia memberi kerjasama untuk menjayakannya.

'Oleh sebab itu, ibu bapa perlu dimaklumkan tentang kewujudan sistem ini kerana kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja disumbang oleh pelajar dan guru-guru itu sendiri tetapi juga PIBG,' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai SIP yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, melalui salah satu pendekatan program itu, guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan.

SIP melibatkan tiga komponen utama membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah, penilaian kendiri pembangunan prestasi sekolah dan service line iaitu program sokongan oleh pihak kementerian.

Mohamad Ali berkata, pihak sekolah perlu bersikap terbuka dalam menerima cadangan khususnya daripada PIBG bagi tujuan peningkatan semua aspek yang melibatkan prasarana dan keselamatan sekolah, pelajar dan profesionalisme guru.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya akan memantau keberkesanan program itu sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan agar ia tidak dianggap sebagai tambahan beban kerja kepada guru.

Program ini amat baik untuk menjadikan sistem pendidikan lebih kemas dan berjalan lancar, namun kita akan meneliti juga jika terdapat rungutan tentang program ini yang mungkin mengganggu tugasan utama guru.

'Bagaimanapun guru perlu berusaha dahulu, jika tidak, kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya,' katanya.

Tambah beliau, program seperti itu seharusnya dilaksanakan pada awal tahun agar pihak sekolah boleh merancang terlebih dahulu pelaksanaannya sepanjang tahun dan tidak bertindih dengan program yang telah dirancang sebelum ini.

Rujuk [U.Malaysia-1/5/2010]