24.3.10

SIP di semua sekolah

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Pelajaran akan melaksanakan Program Pembangunan Sekolah (SIP) bermula hujung bulan ini bagi membantu melonjakkan pencapaian semua sekolah di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, SIP mempunyai matlamat jangka panjang bagi membolehkan sebanyak mungkin sekolah termasuk di luar bandar dan pedalaman mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Katanya, melalui SIP juga, permasalahan sesebuah sekolah dapat ditangani secara khusus dan ia akan bermula melalui analisis Toolkit Pembangunan Prestasi Sekolah (SIT) dengan mengambil kira empat elemen utama iaitu kepimpinan, guru, murid, ibu bapa dan infrastruktur.

"Hasil analisis SIT, setiap sekolah akan merangka dan merancang Pelan Pembangunan Prestasi Sekolah masing-masing.

"Pelan pembangunan yang telah dirangka akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang berpusat di kementerian untuk dianalisis bagi menentukan pelan terbaik untuk sesebuah sekolah," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu meminta kementerian menyatakan mengenai strategi yang diambil dalam mencapai sasaran mewujudkan 100 buah SBT menjelang 2012

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan bahawa program pembangunan sedemikian bukannya sesuatu yang baru namun kali ini pihaknya melakukan penambahbaikan dari aspek pelaksanaannya.

Katanya, pada kali ini ia akan menggunakan pendekatan dari bawah ke atas bagi memastikan masalah sebenar setiap sekolah dapat ditangani lebih-lebih lagi ia membabitkan pemantauan sistematik sejajar dengan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan.

"Laporan mingguan dan bulanan mengenai prestasi program akan dikemukakan kepada pihak Pemandu untuk dipantau," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, SIP juga akan memberi perhatian khusus kepada sekolah rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, ini kerana kementerian mendapati sekolah terbabit pada masa ini berada dalam kelompok sekolah berprestasi rendah.

Menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Muhyiddin berkata, kerajaan bersedia menimbangkan untuk memberi biasiswa selaras dengan amalan meritokrasi kepada pelajar yang berada dalam kelompok paling cemerlang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak juga akan membuat pengumuman berhubung pemberian Biasiswa Nasional yang mempunyai semangat tersebut dalam masa terdekat.

"Tidak berapa lama lagi Perdana Menteri akan umum Biasiswa Nasional, ia akan diambil kira kriteria berdasarkan merit bukan kerana kaum, sesiapa sahaja sama ada Melayu, Cina dan India yang memenuhi kriteria yang terbaik di kalangan terbaik akan menerimanya," katanya.

Rujuk [U.Malaysia-24/3/2010]

22.3.10

Kajian untuk wajibkan pelajar asing belajar Bahasa Melayu

NILAI: Kementerian Pengajian Tinggi sedang membuat kajian untuk mewajibkan subjek Bahasa Melayu kepada pelajar asing bagi membina hubungan yang lebih baik antara pelajar itu dengan masyarakat setempat, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin. [Lagi]


Rujuk [B.Harian-22/3/2010]

11.3.10

SPM 2009: Gladys Tan, SM Sains Seremban terbaik

PUTRAJAYA 11 Mac – Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Green Road, Kuching, Sarawak yang mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 hari ini diumumkan sebagai pelajar terbaik, manakala Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan pula muncul sebagai sekolah terbaik.

Rujuk [U.Malaysia-11.3.2010]

10.3.10

Bayaran wad hospital untuk pegawai, pesara dimansuhkan

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kerajaan akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap pegawai dan pesara perkhidmatan awam yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuatkuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam pemansuhan itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.

"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).

Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, katanya.

Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

Ismail berkata jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar yang dikenakan ke atas orang awam.

"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan,” katanya. - Bernama

Rujuk [U.Malaysia-10.3.2010]

7.3.10

Guru tingkat pencapaian sekolah turut diberi insentif

TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini.

“Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan tak kira di bandar atau luar bandar, ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu.

“Tetapi kalau meningkat sedikit pun (cemerlang) kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu.

“Maknanya, bukan hanya bagi pengetua atau guru besar tetapi kepada semuanya, kerana kita iktiraf peranan itu bukan hanya dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah, sebaliknya semua guru mesti bekerja sama. Kalau (sekolah) meningkat, semua dapat kredit,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Slim River dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Pusat dan negeri Perak.

Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah tanpa mengira sama ada ia sekolah bandar atau luar bandar untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.

“Kita boleh melihat kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi geran pelancaran kepada pihak swasta yang membuka kelas-kelas prasekolah di negara ini.

Langkah tersebut, katanya, bagi menjayakan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan dalam tempoh tiga tahun lagi mempunyai pendidikan asas.

Selain itu, jelas beliau, kementerian juga akan menampung kos melatih guru-guru yang ditempatkan di prasekolah terbabit.

Terdahulu, dalam pertemuannya dengan warga pendidik di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) Behrang, Muhyiddin mahu guru-guru berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan.

Beliau berkata, langkah kementerian memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kalau guru-guru bersemangat meningkatkan pencapaian murid-murid dan para pelajar, langkah-langkah ini akan diiktiraf oleh pihak kementerian dan juga layak untuk mendapat imbuhan insentif tahun depan,” katanya.

[Rujuk]