28.4.10

PIBG perlu agresif bantu sekolah

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus memainkan peranan lebih agresif dalam membantu sekolah meningkatkan tahap kecemerlangan untuk mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan 100 SBT menjelang 2012 berbanding 20 SBT kini. Katanya, SBT menjadi penanda aras bagi kecemerlangan sesebuah sekolah itu yang setanding dengan sekolah di negara maju.

“Masih banyak yang perlu dilakukan bagi menambah baik pencapaian sekolah yang ada di negara ini, " katanya ketika berucap sempena Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2, di sini, semalam.

Seramai 103 pelajar cemerlang yang mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Muhyiddin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Fuziah Hassan.

Katanya, SBT seperti SK Bandar Baru Uda 2 yang mencapai kecemerlangan di dalam UPSR sejak 2003 boleh berkongsi pengalaman mereka dengan sekolah lain supaya budaya pencapaian kecemerlangan yang diamalkan di SBT dapat disebarkan.

Sebelum itu, ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini, Muhyiddin berkata, penubuhan alumni berkesan membantu pengurusan sekolah meningkatkan kecemerlangan sekali gus merangsang murid dan pelajar untuk lebih gigih menimba ilmu.

Katanya, alumni yang disertai bekas pelajar yang mempunyai personaliti tinggi serta sudah menempa kejayaan, mampu memberikan idea kepada sekolah dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan kegiatan bagi membantu murid mencapai kecemerlangan.

Rujuk [B.Harian-28/4/2010]

23.4.10

30 tempat untuk guru lanjut pengajian PhD

Kementerian lulus 70 peluang sehingga peringkat Sarjana

Kementerian Pelajaran meluluskan 30 tempat bagi guru melanjutkan pelajaran ke tahap ijazah kedoktoran (PhD) dan 70 untuk peringkat Sarjana bagi memberi peluang lebih ramai guru meningkatkan status akademik mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima peruntukan tambahan bernilai RM972.6 juta melalui peruntukan tambahan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu. “Penambahan peruntukan itu membolehkan kementerian mengisi beberapa perancangan untuk memantapkan sistem pendidikan negara kita termasuklah menggunakan RM1.2 juta bagi menawarkan 100 lagi tempat bagi guru melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat PhD mahupun Sarjana.

“Malah, guru yang menyambung pengajian mereka itu juga akan menerima cuti belajar bergaji penuh,” katanya selepas majlis penyampaian bayaran elaun sara hidup nelayan Batu Pahat, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, RM15.3 juta lagi akan digunakan bagi menampung bayaran elaun sara hidup dan perjalanan guru membabitkan pertukaran, penempatan guru baru serta pengagihan semula guru.

“Ini juga termasuk bagi menyediakan elaun balik kampung bagi guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman kerana sebelum ini ramai guru yang ditempatkan di pedalaman terpaksa mengeluarkan belanja yang besar jika mahu pulang ke kampung.
“Kementerian juga memperuntukkan RM50 juta bagi menampung tuisyen 150,000 murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Puad berkata, kementerian turut memperuntukkan RM144 juta untuk memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan termasuk menambah 1,033 lagi kelas prasekolah di seluruh negara.

“Sehingga kini, hanya ada 7,511 kelas prasekolah yang dibuka di seluruh negara dan dengan peruntukan ini, penambahan lebih banyak kelas pra sekolah dapat dilakukan menjelang 2012.

“Dengan penambahan kelas prasekolah ini, kementerian mensasarkan 87 peratus generasi muda negara ini berpeluang mendapat pendidikan peringkat awal bermutu menjelang 2012 ini,” katanya.

Rujuk [B.Harian-23/4/2010]

IPTA, IPTS diseragam

Syarat wajib kelulusan untuk kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta negara ini akan diseragamkan pada sekurang-kurangnya kredit dalam lima subjek, menjelang 2015.

Ketika ini, peraturan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan pelajar hanya perlu mempunyai kredit dalam tiga mata pelajaran untuk memasuki IPTS dan lima kredit untuk memasuki IPTA. Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata penyeragaman syarat baru itu perlu dibuat bagi memastikan kualiti pengajian tinggi negara ini berada pada landasan terbaik dan mengelakkan ‘double standard’ dalam pengambilan pelajar IPTA dan IPTS, sedangkan pelajar mengambil jurusan sama.

“Adalah tidak bagus (mereka yang menuntut di IPTS) ini dilihat sebagai pelajar kelas bawahan, sedangkan mereka mengambil jurusan peringkat diploma ataupun ijazah,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas rungutan yang disalurkan kepada Berita Harian berikutan dakwaan Kementerian Pengajian Tinggi mahu melaksanakan syarat baru kemasukan pelajar, Jun ini, dengan menetapkan hanya pemohon memiliki kelayakan lima kredit dalam mata pelajaran dipertimbangkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan masing-masing.

Syarat baru itu menimbulkan kebimbangan di kalangan pengendali IPTS terhadap kesukaran mendapat pelajar baru. Ibu bapa juga bimbang anak mereka sukar melanjutkan pengajian pada peringkat tinggi sekurang-kurangnya diploma, selepas gagal mendapat tempat di IPTA. Menjelas lanjut, Radin Umar berkata, pihaknya menyedari syarat berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Berikutan itu, katanya, IPTS akan diberi panduan serta ruang bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan dasar baru itu kelak.

Rujuk [B.Harian-23/4/2010]

7.4.10

Bakal guru yang ke pedalaman akan dimotivasi

Guru-guru yang bakal dihantar ke kawasan pedalaman akan dimotivasi terlebih dulu sebagai persediaan mental dan fizikal mereka.

“Bagi tujuan itu, kumpulan sokongan akan diadakan bagi memotivasikan guru terbabit menerusi program orientasi,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kumpulan sokongan adalah terdiri daripada guru yang sedang mengajar di kawasan pedalaman.

"Tahun ini kita akan menghantar 5,292 guru ke kawasan pedalaman di mana mereka perlu disediakan dengan ketahanan mental dan fizikal.

"Seperti rawatan kepada pesakit kanser, maka kita kena minta bekas pesakit kanser sendiri untuk memberi semangat kepada pesakit yang sedang menerima rawatan bagi meneruskan kehidupan mereka," katanya di sini, hari ini.

Puad berkata, guru yang bakal dihantar mengajar di pedalaman akan dimaklumkan lebih awal berhubung penghantaran mereka supaya dapat membuat persediaan awal, seperti keperluan menguruskan soal tempat tinggal.

"Kita sedia maklum dengan masalah tempat tinggal guru di pedalaman sementara kerajaan sedang berusaha untuk membina rumah guru yang lebih selesa," katanya.

Rujuk [B.Harian-6/4/2010]

2.4.10

Guru dibebani tugas berat - betul atau salah?

TERTARIK sungguh apabila membaca komentar Wahid Hashim dalam laman Pendidikan, Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac 2010 yang bertajuk 'Mencemburui gaji guru'. Terdetik hati saya untuk bersama-sama berkongsi pendapat dan pandangan tentang isu-isu yang dibangkitkan.

Tulisan beliau yang menjurus kepada reaksi KPPK untuk bersemuka dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas beberapa isu berkaitan bebanan tugas dan kenaikan gaji guru, sedikit sebanyak mampu membuka minda semua yang terlibat dalam profesion keguruan.

Bebanan tugas guru ibarat isu yang tidak ada kesudahannya, padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru tetapi oleh sebahagian guru terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah dan sebagainya.

Namun yang pelik dalam 'gegak-gempita' isu bebanan tugas guru ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru tersebut menjawat 'dua profesion' dalam satu masa.

Sebenarnya 'atas kertas,' Kementerian Pelajaran telah imbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru-guru muda yang hanya mampu dicapai oleh guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif lain.

Akan tetapi yang peliknya, gaji lumayan seolah-olah membawa kesan negatif kepada dunia pendidikan apabila guru berkenaan hilang semangat untuk berkorban dan 'rasa susah' demi mendidik anak bangsa. Tuisyen berbayar hanya dipandang sebelah mata apatah lagi tuisyen percuma dan ditambah lagi dengan alasan suami tidak izin, anak sakit dan seribu satu alasan lain.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan, berjenis 'kabel' digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga 'jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi'.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang 'enggan susah' dan bersikap 'anak manja' maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru terbabit. Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani dengan pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru tersebut. Mereka akan dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari, sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain 'enak dibuai mimpi'.

Setiap profesion tentu ada cabarannya lebih-lebih lagi profesion keguruan. Namun, jika ia tidak diseimbangkan dengan adil, akan berlakulah bebanan tugas tersebut. Tentu amat terbeban jika seseorang guru yang mengajar kelas peperiksaan lebih tiga tahun secara berterusan, guru yang memegang lima jawatan utama sekolah dalam satu masa dan sebagainya.

Sebagai 'orang lama' dalam dunia pendidikan, KPPK kini dilihat semakin hilang 'sengat' terutama pada kaca mata guru-guru lama. KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak yang lain.

Jadi, untuk mengembalikan 'taring' KPPK, peranan sebenar KPPK adalah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan. Insentif berbentuk elaun mampu memberi keadilan kepada guru-guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu. Jangan hanya 'terjah' dan 'timbang kilo' tanpa fakta yang tepat kerana ini hanya merugikan guru-guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

Kerajaan pula hanya membazir wang negara andai kata memberi ganjaran seperti elaun dan bonus kepada kakitangannya yang tidak produktif. Eloklah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengkaji elaun-elaun yang telah diberikan kepada guru-guru agar dinikmati hanya oleh guru-guru yang benar-benar layak dan berhak.

Setiap sen wang negara yang diperoleh oleh para guru adalah ibarat titisan keringat ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak mereka demi kelangsungan hidup yang mendatang. Fikir-fikirkanlah.

IRMAZ DINI

Pendang, Kedah

Rujuk [U.Malaysia-2/4/2010]

Tugas guru bertambah akibat banyak arahan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan guru menanggung beban kerja berganda akibat wujudnya ‘arahan dalam arahan’ yang mana mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama.

Beliau berkata, keadaan sedemikian berlaku di negeri tertentu menyebabkan guru terpaksa akur dengan arahan dikeluarkan pihak atasan pada peringkat berbeza itu sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Justeru, dalam menangani situasi sebegini, NUTP berharap guru hanya perlu akur kepada pekeliling dikeluarkan Kementerian Pelajaran dan tidak perlu ditokok tambah dengan program yang mirip oleh pihak JPN atau PPD,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik sebagai berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.
Lok berkata, masalah berkenaan ialah antara beban kerja guru yang dibangkitkan dalam mesyuarat antara NUTP dan Muhyiddin yang berlangsung lebih sejam di Bangunan Parlimen, kelmarin.

Selain itu pada pertemuan berkenaan, katanya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dimaklumkan mengenai masalah kekurangan waktu untuk guru berehat apabila dipanggil menjalankan pelbagai aktiviti pada setiap Sabtu, justeru NUTP mencadangkan supaya kementerian menetapkan peraturan bahawa guru hanya dipanggil bertugas pada Sabtu kedua dan keempat dalam sebulan.

Sambil menjelaskan NUTP menyokong penempatan guru baru di pedalaman, katanya, kesatuan itu bagaimanapun membantah tindakan memindahkan guru dari sebuah sekolah ke sekolah lain untuk penggiliran kerja bagi pelbagai mata pelajaran di sesetengah negeri, sedangkan proses penugasan semula itu sepatutnya hanya untuk subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

“NUTP ada 160,000 ahli dari pelbagai kumpulan dalam sektor pendidikan, oleh itu banyak masalah akar umbi yang perlu diberi perhatian. Justeru, NUTP berharap dapat mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri sekurang-kurang dua kali setahun untuk membincangkannya.

“NUTP amat berterima kasih atas keprihatinan beliau yang begitu `passion’ terhadap profesion keguruan,” katanya.

Rujuk [B.Harian-2/4/2010]