18.8.10

Penilaian guru cemerlang berdasar hubungan baik tak tepat

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk aduan ‘bekas guru’, dalam ruangan ini bertarikh 9 Mei lalu bertajuk ‘Jemaah Nazir wajar semak guru cemerlang’.

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) diamanahkan untuk mentadbir urus hal berkaitan penilaian calon guru cemerlang dan pemantauan guru cemerlang.

Dakwaan sesetengah guru memperoleh markah tinggi dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) asalkan menjalin hubungan baik dengan penilai tidak tepat.

Aspek lain yang dinilai JNJK ialah keterampilan profesional, pengurusan kurikulum, peranan dalam aktiviti bukan akademik, keperibadian dan pembabitan guru terbabit dalam bidang kepakarannya di peringkat antarabangsa, negara, daerah dan sekolah.

Nazir penilai juga akan menemubual pengetua atau guru besar, guru penolong kanan, ketua panitia, guru dan murid bagi mengesahkan kepakaran calon.

Data kekosongan kuota guru cemerlang gred DG44 di sekolah rendah dan menengah yang diberikan juga tidak tepat. Kuota kekosongan yang diiklankan pada 25 Jun 2010 bagi gred DG44 sekolah rendah adalah 1531, manakala sekolah menengah 476.

Saranan ‘bekas guru’ supaya kuota guru cemerlang gred DG44 lebih banyak di sekolah rendah berbanding di sekolah menengah tidak bersesuaian kerana bilangan guru DG41 lebih ramai di sekolah menengah. Data terkini guru cemerlang DG44 di sekolah menengah (5379) dan sekolah rendah (7137).
JNJK amat prihatin isu berkaitan kualiti guru cemerlang bagi memastikan mereka berupaya mengekalkan kecemerlangan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Rujuk [B.Harian-18/08/10]

9.8.10

Calon isi kekosongan Pengetua Gred DG52 perlu penuhi syarat

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada aduan 'Guru lama di SBP, Perak', dalam ruangan ini pada 29 Julai lalu bertajuk 'Pengajar SBP kecewa JPN ketepi senior untuk naik pangkat'.

Aduan itu menyebut ‘rata-rata guru senior ketinggalan dalam proses kenaikan pangkat berbanding guru di sekolah harian, setiap kali ada kekosongan jawatan pengetua di SBP, orang yang akan mengisi jawatan adalah pengetua dari sekolah harian’.

Untuk makluman, pencalonan bagi mengisi kekosongan jawatan Pengetua Gred DG52 adalah berdasarkan cadangan daripada Pengarah Bahagian/ Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan persetujuan Ketua Pengarah Pelajaran. Calon yang boleh dicadangkan bagi pengisian jawatan ini adalah di kalangan calon yang sudah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) dalam urusan pemangkuan daripada Gred DG48 ke Gred DG52 atau pun oleh calon Gred DG52 hakiki.

Ini bermakna jika Guru Penolong Kanan Gred DG48 itu termasuk dalam senarai yang diluluskan LKPPP untuk pemangkuan daripada Gred DG48 ke Gred DG52, maka beliau boleh dicalonkan oleh Pengarah Bahagian/ JPN untuk mengisi jawatan Pengetua Gred DG52 yang kosong.

Bagi laluan kenaikan pangkat guru cemerlang, ia tidaklah terhad hanya kepada guru dari sekolah harian saja, tetapi terbuka kepada semua guru di sekolah seluruh negara.

Bagi melayakkan seseorang calon memohon guru cemerlang, calon perlulah memenuhi syarat umum dan syarat khusus ditetapkan dalam iklan semasa yang dikeluarkan jemaah nazir dan jaminan kualiti (JNJK) serta diperakukan ketua jabatan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Rujuk [B.Harian-9.8.10]