13.4.11

Membaca atau menikmati karya sastera? - OLEH DR AMINUDIN MANSOR

SECARA umumnya, membaca dan menikmati hasil karya adalah berbeza. Membaca secara biasa ialah memerhati isi sesuatu yang tertulis memahamkan makna kandungannya. Sementara menikmati hasil karya ialah membaca secara memahamkan makna dengan penuh perasaan dan membuat kesimpulan tentang isi karya yang dibaca.

Lantaran itu, pembaca biasa hanya membaca karya sastera seperti cerpen, novel dan puisi secara sambil lalu dan sedikit tercuit perasaan seperti sedih, gembira dan sebagainya. Manakala membaca dengan menikmati hasil karya akan membaca berkali-kali dengan sepenuh jiwa, mempelajari dan meneladani apa yang tersurat dan tersirat dalam karya. Golongan kedua ini adalah pencinta sastera tulen.

Pandangan mengatakan membaca adalah seni, seperti halnya seni berfikir dan seni menulis. Seorang pembaca dan juga penikmat karya akan dapat merasakan seni sastera yang terpancar dalam sesebuah hasil karya. Membaca dengan berfikir menjadikan seseorang penikmat sastera yang tulen. Seperti kata Francis Bacon, membaca menjadikan seseorang berisi, berunding menjadikan dia siap, menulis menjadikan dia saksama.

Bahan karya sastera mencerminkan jiwa dan perasaan seseorang pengarang dalam apa juga keadaan. Karya sastera juga menjadi salah satu sumber rujukan penting bagi menyelami perasaan rakyat dalam sesebuah negara merdeka. Menghayati karya sastera adalah mendalami hati budi rakyat yang terpancar dalam karya tersebut.

Soalnya, adakah kita membaca atau membaca dengan menikmati karya sastera? Ramai dalam kalangan pelajar yang belajar di tingkatan satu hingga lima hanya membaca karya sastera secara biasa. Hanya sedikit yang membaca secara menikmati dengan mata hati dan akal budi karya sastera dalam Komponen Sastera (KOMSAS) yang diwajibkan kepada para pelajar.

Justeru, KOMSAS dalam pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai keterampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati hasil karya dengan sepenuhnya. Ia menjadi penyalur ilmu, penyebar fikiran dan gelojak perasaan sesuatu bangsa.

Bahan KOMSAS telah dijadikan sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi menambahkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu. Ia mencakupi pendedahan dan apresiasi karya-karya sastera daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, puisi moden, drama, cerpen dan novel.

Melalui pendedahan ini pelajar dapat mengenal dan menikmati karya sastera hasil tulisan penulis-penulis di negara ini. Selain itu, karya tersebut juga dapat menjadi saluran bagi pelajar memahami budaya, cita rasa, keindahan seni, kehidupan sosial masyarakat di negara ini. Usaha ini adalah pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Kehidupan

Penerapan elemen penting dalam karya akan menjadikan pelajar insan yang berfikir tentang kehidupan dan kebaikan. Seterusnya, karya sastera juga dapat membantu membentuk kehalusan budi pekerti, kecekapan berbahasa, ketabahan hati, keindahan seni, menegakkan kebenaran, menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan.

Karya sastera bukan hanya bahasa dan kata-kata, malah ia lebih daripada itu. Ia merangkumi budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat secara keseluruhannya. Apabila membaca seseorang akan menikmati bahasa dan kata-kata yang disampaikan dengan berkesan dengan penuh keindahan seni.

Memetik kata-kata Aristotle, dari satu segi, seni menyempurnakan apa yang tidak boleh dijelaskan oleh alam semesta, di segi yang lain ia meniru alam semesta. Jelaslah seni itu soal penggambaran dan peniruan. Dalam karya sastera terdapat seni meniru atau menggambarkan kehidupan manusia, terutamanya perbuatan manusia.

Oleh itu, peranan dan tugas guru bahasa Melayu sangat penting dalam pembacaan hasil karya yang bermanfaat. Melalui pembacaan ke arah menikmati hasil karya yang penuh seni akan dapat mewujudkan pelajar yang meminati karya sastera, memahami nilai keindahan dalam sastera dan mendalami tujuan penulis menghasilkan sesebuah karya sastera.

Menanamkan minat dalam jiwa pelajar sebagai pencinta sastera tulen juga menjadi tugas guru khususnya guru bahasa Melayu. Lapangan sastera Melayu amat luas yang harus diteroka oleh generasi muda. Teks sastera cukup banyak dipasarkan untuk dinikmati.

Seperti kata Matthew Arnold, "Sastera adalah cermin kehidupan". Oleh itu, melalui pembacaan yang teliti, penuh rasa di jiwa penikmat karya sastera dapat mencedok ciri-ciri kehidupan yang baik digambarkan dalam watak dan perwatakan, latar masyarakat yang digambarkan.

Justeru, pengarang berusaha merakamkan seluruh hasil kerjanya bagi dihargai untuk tatapan dan bacaan masyarakat umum. Dalam karya sastera akan terdapat kesan dan warna yang pelbagai untuk dinikmati oleh generasi muda. Daripadanya terpancar pengalaman, pemikiran dan sikap pengarang.

Melalui pembacaan yang teliti akan dapat melihat sikap dan pemikiran pengarang, memahami seni, memasuki akal budi, mengikut jalur rasa dan perasaan serta rasa keindahan yang terdapat dalam sesebuah hasil karya sastera. Di hutan keindahan sastera dan belantara bahasa menghidangkan pelbagai takrif dan istilah menjurus ke arah cara berfikir.

Hasil karya sastera seperti cerpen, novel, puisi dan drama bukanlah sebagai alat penghibur pada waktu lapang. Malah ia lebih daripada itu, pembacaan karya sastera sewajarnya sebagai bahan penggayaan batin, dapat menajam fikiran, pembentuk akal budi dan meluaskan pengalaman hidup kepada pembaca. Melalui pembacaan dengan menikmati karya sastera akan membuka satu pengalaman baru meluaskan rasa seni yang mendalam tentang kehidupan.

Utusan Malaysia - 13 April 2011

Memupuk rasa bangga julang bahasa Melayu - Oleh Teo Kok Seong

Program Pembudayaan Bahasa mampu memperkasa jati diri

PROGRAM Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, antaranya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Sesungguhnya ia boleh juga dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan kenegaraan yang lain.

Bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan. Antaranya bahasa boleh dijadikan wahana untuk mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Untuk tujuan kenegaraan, bahasa boleh digunakan menjadi lambang kepada jati diri nasional serta nasionaliti sesebuah negara, selain menjadi wahana menyatupadukan rakyat, khususnya yang berbilang kaum dalam sesebuah negara itu. Ia boleh juga digunakan untuk mengungkapkan etos kebangsaan dan membangkitkan semangat kebangsaan.

Sehubungan ini, bahasa yang digunakan untuk mendukung fungsi kenegaraan adalah bahasa yang dimiliki dan dikongsi bersama. Lazimnya hanya satu bahasa yang dikongsi bersama digunakan untuk tujuan kenegaraan. Ini adalah kerana gagasan pemilikan dan perkongsian hanya satu bahasa didapati amat berkesan, khususnya ketika melaksanakan fungsi penyatuan dan kemajuan nasional yang dilakukan secara sekali gus. Dua fungsi ini yang didapati saling melengkapi didukung oleh bahasa yang sama.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu mendukung dua fungsi. Pertama sebagai bahasa kebangsaan dan kedua sebagai bahasa rasmi. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah lambang jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia, selain penanda kesatuan rakyat. Selaku bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah alat untuk memajukan rakyat dan negara.

Walaupun Malaysia memilih dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, penggunaan bahasa etnik, misalnya Mandarin dan Tamil dibenarkan dalam sistem pendidikan nasional. Di mana-mana negara di seluruh dunia, pendidikan dijadikan dan memang pun menjadi alat penting untuk menyatupadukan rakyat, khususnya dalam membentuk jati diri nasional dan nasionaliti dalam kalangan rakyat, selain memajukan rakyat dan negara. Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.
Di Malaysia, kita mempercayai dan meyakini bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama, adalah kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan seterusnya memajukan rakyat dan negara. Sehubungan ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini bermakna dalam keseluruhan itu, semangat dan jati diri etnik Cina dan India itu yang dipupuk menerusi pendidikan vernakular dan pengamalan budaya dan warisan etnik, hendaklah diletakkan di bawah tempat bertakhtanya semangat kebangsaan dan jati diri nasional. Dengan perkataan lain, semangat kebangsaan dan jati diri nasional hendaklah dipastikan selalu berada dan diletakkan di atas semangat dan jati diri etnik.

Semangat kebangsaan dan jati diri nasional itu perlu berlandas simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah kerana ia dipersetujui dalam Perjanjian Etnik/Kontrak Sosial yang dimeterai ketika kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Antara simbol dan proses sosiobudaya Melayu itu ialah bahasa Melayu yang dipilih untuk menjadi bahasa negara ini.

Dalam konteks kenegaraan, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah maruah negara, antaranya jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Sehubungan ini, memalukan sekali sekiranya masih ada, walaupun seorang rakyat Malaysia tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan pasca merdeka.

Perkara sebegini pernah dilaporkan. Antaranya membabitkan seorang wanita Cina yang berusia 51 tahun tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini dan terus berbahasa Inggeris apabila memberi keterangan ketika membuat laporan mengenai tas tangannya diragut, di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

Tindakan wanita ini ditegur oleh pegawai polis Melayu yang mengambil keterangan dan tegurannya itu yang dianggap perkauman sehingga beberapa pihak mendesak agar tindakan tegas diambil terhadapnya. Desakan untuk menghukum ini menunjukkan ramai yang gagal melihat isu sebenarnya di sebalik teguran itu.

Teguran itu sebetulnya adalah manifestasi kekecewaan yang kemudian menjadi kemarahan orang Melayu selaku kaum dominan, terhadap sesetengah rakyat Malaysia yang masih tidak nasional pada diri mereka. Antaranya termasuk keengganan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, khususnya dalam urusan rasmi.

Sehubungan itu, jati diri nasional dan nasionaliti atau kerakyatan Malaysia bergantung sepenuhnya kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini. Bahasa negara sebetulnya adalah sebahagian yang amat penting dalam mana-mana nasionaliti di dunia ini.
Dalam kes kerakyatan negara Malaysia, bahasa Melayu adalah juga bahagian yang penting. Malah, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu diuji kepada mana-mana pihak yang memohon kerakyatan Malaysia pada masa dulu ketika kemerdekaan dan juga pada masa kini.

Komen balas daripada sesetengah rakyat Malaysia mengenai peristiwa ini, dalam bentuk surat pembaca di akhbar dan juga dalam media baharu, memperlihat bahawa jahilnya sebilangan rakyat Malaysia mengenai jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Ia mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kes ini.

Masanya sudah tiba untuk diperbetul kejahilan ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia boleh dan mesti dilakukan melalui Program Pembudayaan Bahasa ini untuk memupuk perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Minda Pengarang: Pelajar patut ambil iktibar kesan kes salah laku pada masa depan

KES salah laku termasuk pergaduhan hingga kepada pembabitan dalam kejadian jenayah membabitkan pelajar bukan perkara baru. Sudah banyak kes seumpama ini dilaporkan menerusi media. Tidak kurang juga pelajar yang didapati bersalah dan menerima hukuman sebagai pesalah juvana. Khamis lalu media memaparkan satu lagi kes salah laku membabitkan pelajar berusia 14 tahun. Dalam kejadian itu, seorang guru wanita retak tulang hidung akibat ditumbuk pelajar Tingkatan Dua, di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, Bukit Keteri, Kangar. Kejadian itu berlaku selepas guru itu menegur pelajar berkenaan yang bergaduh di pekarangan sekolah. Apabila berlaku kes sebegini, kita tertanya-tanya apakah punca sebenar sehingga menyebabkan seorang pelajar tergamak mencederakan gurunya sendiri di kawasan sekolah. Walaupun isu pelajar bertindak kasar terhadap guru di negara ini tidak seteruk seperti kejadian di sesetengah negara lain, namun kita tidak boleh membiarkannya terus berlaku sehingga keadaan menjadi tidak terkawal. Justeru, adalah wajar semua pihak memberi perhatian serius perkembangan tidak sihat ini dan mencari jalan menanganinya secara berkesan.

Agak sukar mencari jawapan berhubung tindakan pelajar berkenaan yang berani mencederakan gurunya di depan kelas dengan disaksikan pelajar lain. Apa silapnya dengan pelajar terbabit sehingga tidak takut dan hilang hormat kepada guru berkenaan? Apakah ibu bapa patut dipersalahkan kerana sikap biadap dan keterlaluan anak mereka itu atau apakah mungkin ia disebabkan pengaruh anasir luar. Kita tidak boleh menafikan tempat terbaik membentuk disiplin anak ialah di rumah, apatah lagi ia sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa serta keluarga. Alam persekolahan serta guru hanyalah sebagai pelengkap untuk membimbing pelajar supaya menjadi manusia berguna, khususnya dalam menjadikan mereka sebagai insan berakhlak mulia dan berilmu. Adalah tidak wajar guru dipersalahkan berhubung salah laku pelajar kerana mereka sudah berusaha sedaya upaya mendisiplinkan pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil iktibar kes salah laku kerana jika kesalahan dilakukan itu serius dan didapati bersalah, ia pastinya membantut pembelajaran dan masa depan mereka. Itulah yang bakal dihadapi pelajar Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, apabila mengaku salah di Mahkamah Majistret kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan guru disiplinnya.

Pelajar itu dikesan melakukan dua kesalahan besar di sekolah berkenaan. Selain menumbuk guru, pelajar berkenaan sebelum itu terbabit dalam pergaduhan. Akibat tidak dapat menerima teguran guru terbabit, pelajar terbabit menumbuknya. Dari segi peruntukan peraturan sekolah, guru disiplin dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah melanggar peraturan dan disiplin sekolah. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mempunyai peraturan yang mesti dipatuhi setiap pelajar. Apapun masalah yang timbul membabitkan pelajar dan guru tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan pembelajaran. Dalam menghadapi isu ini, ibu bapa harus bersikap rasional dan tidak membuta-tuli menyebelahi anak. Mereka mesti selidik dulu siapa yang benar dan salah serta mengutamakan perundingan bagi menyelesaikan setiap masalah. Oleh kerana kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan hukumannya akan diputuskan 4 Mei ini, adalah wajar mana-mana pihak melihat keputusan mahkamah itu sebagai peringatan kepada pelajar supaya tahu menghormati dan menghargai guru.

Berita Harian

9.4.11

Sabar, reda berdepan musibah serlah keperibadian Muslim

MENJADI hakikat tiada sesiapapun di dunia ini suka berhadapan dengan musibah. Sebagai manusia beriman, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan perlu menganggapnya sebagai ujian.

Ujian diberikan Allah SWT ini datang dalam pelbagai cara. Misalnya, kejadian tsunami di Jepun, gempa bumi di New Zealand, peperangan di negara Arab dan juga banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Musibah kehilangan ahli keluarga tersayang, kemusnahan harta benda, kemiskinan berpanjangan, menghidap penyakit kronik, kemalangan, kerugian dalam perniagaan dan sebagainya adalah cukup pedih untuk dihadapi. Jika hati seseorang itu goyah dan tidak rasional, musibah ini tidak akan dianggap sebagai cubaan dan petunjuk yang dianugerahkan Allah SWT sebagai sumber meneguhkan keimanan dan kekuatan diri.

Kehidupan pada masa sukar sebegini dianggap tidak bermakna. Jiwa tidak tenteram dan perasaan menjadi kusut apabila kesenangan dan kebahagiaan yang dinikmati sebelum ini hilang sekelip mata.

Ada antara kita menganggap Tuhan tidak adil kerana menurunkan musibah demi musibah, umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Hasutan syaitan akan menyemarakkan lagi rasa putus asa, sedih dan marah.

Sebenarnya jika sifat sabar dipupuk sebaiknya dalam diri, seseorang itu akan terus diberi petunjuk oleh Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan di dunia yang fana ini.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah beroleh petunjuk, dan sesiapa disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi (Surah al-A’raf ayat 178).

Bagi orang bersabar, dia akan reda dan tabah menerima segala ketentuan Allah SWT. Bahkan sifat tawakal atau berserah dan bersyukur akan tumbuh subur di dalam sanubari di samping percaya sesuatu yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

Insan seperti ini sedar Allah SWT menunjukkan contoh kesabaran rasul bergelar ‘ulul azmi’ yang menerima pelbagai cabaran hebat dalam menyebarkan dakwah Islamiah pada zaman mereka.

Sifat sabar dapat membentuk keperibadian seseorang supaya sentiasa tenang. Ketenangan ini akan memandu dirinya bermuhasabah diri apakah ada salah dan silap yang pernah dilakukan dan bagaimana untuk memperbaikinya.

Orang yang sabar dan tabah menghadapi ketentuan Tuhan dari perspektif adalah orang yang terpelihara kehidupannya di dunia dan di akhirat dan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Ini selaras dengan firman Allah SWT bermaksud: “...sesungguhnya orang yang sabar saja akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar, ayat 10).

Sebagai masyarakat prihatin terhadap satu sama lain, adalah wajar kita membantu orang yang dilanda kesusahan. Bukannya menjauhkan diri daripada mereka ini yang masih tercari-cari pedoman menghadapi saat sukar dalam hidup.

Sokongan masyarakat dari segi psikologi dan fisiologi sangat terkesan dalam membentuk sifat kesabaran dan ketakwaan dalam diri mereka yang dilanda musibah.

Semoga orang yang sentiasa bersabar menghadapi ujian akan dikuatkan keimanannya dan diberikan ganjaran sebaiknya seperti firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaran serta kuatkan pertahanan dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu beroleh kejayaan.” (Surah ali-Imran ayat 200).

Penulis berkhidmat di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berita Harian

UM perlekeh bahasa Melayu

ISU Naib Canselor Universiti Malaya (UM) mengagung-agungkan bahasa Inggeris hangat diperkatakan mutakhir ini.

Kemuncaknya pada 14 Februari lalu apabila beliau menegaskan apabila pelajar membuka mulut, tiada bahasa lain yang harus keluar kecuali bahasa Inggeris di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

Memorandum bantahan pelajar Akademi Pengajian Melayu sudah diserahkan kepada Naib Canselor pada 24 Februari lalu. Hingga hari ini gesaan supaya Naib Canselor memohon maaf dan menyatakan pendirian sebenar terhadap bahasa Melayu tidak mendapat maklum balas sewajarnya. Anggapan Naib Canselor amat mudah seperti budak sekolah kerana langsung tidak bercirikan ilmiah. Bercakaplah bahasa Inggeris setiap masa untuk mudah dapat pekerjaan seterusnya meningkatkan ranking UM pada peringkat dunia.

Sudahlah dangkal pemikirannya sekali gus memperlekehkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mangsa ‘kambing hitam’ baginya ialah pelajar Akademi Pengajian Melayu (APM) dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) yang dilabel sebagai lemah bahasa Inggeris.

Paling mengecewakan pelajar adalah caranya yang tidak profesional.
Memburukkan fakulti tertentu di hadapan pelajar fakulti lain dengan pertanyaan “Which one is the worst?” Sebagai bukti, apabila pembaca menaip Raising UM into the rank of top 100 Universities (Faculty of Science part 3) dalam laman video YouTube, dapat dilihat bagaimana pada minit 4.44 hingga 6.48, Naib Canselor UM merendah-rendahkan APM dan FSSS di khalayak pelajar Fakulti Sains.

Hal sama juga dibuatnya sehari sebelum itu di depan pelajar Fakulti Alam Bina iaitu pada 9 Februari lalu.

Persoalannya, jika benar masalah ramai pelajar menganggur datang daripada bidang berteraskan sastera, sains sosial dan kemanusiaan, mengapa dia hanya bercerita berdegar-degar hal itu di depan pelajar bidang lain pula?

Ibarat tidak puas hati dengan kucing membuang najis di halaman rumah, tetapi ayam pula yang dihambat! Adilkah begitu? Mana maruah kami? Kami juga membayar yuran pengajian dan modal insan penting untuk kemajuan negara.

Malaysia tidak akan maju dalam erti kata sebenar jika hanya bidang sains dan teknologi dimanjakan, tetapi bidang kami dianaktirikan.

Mohon Kementerian Pengajian Tinggi mengambil perhatian hal ini. Selain itu, tindakannya yang hanya memanggil pelajar Melayu daripada Pusat Sukan, Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pendidikan di depan Dewan Tunku Canselor (DTC) ketika ucapannya pada 14 Februari lalu seperti ada agenda mahu memalukan bangsa Melayu di depan pelajar bukan Melayu serta pelajar asing.

SISWA KECEWA,
Universiti Malaya.

Berita harian

Sayang anak, cikgu jadi mangsa

TERDETIK di hati saya untuk menyuarakan pendapat mengenai keganasan pelajar sekolah di negara kita pada masa sekarang. Terlalu banyak yang berlaku hingga ada kala membimbangkan kerana isteri saya juga seorang guru.

Tindakan pelajar menumbuk sehingga mencederakan guru, menyerang rakan sekolah lain seperti samseng, bergaduh di dalam kelas dan banyak lagi perkara yang kita tidak sanggup dengar kini semakin menjadi-jadi.

Pada zaman saya bersekolah dulu, tidak pernah kedengaran masalah disiplin melampau seperti ini. Kita juga nakal, tetapi masih menghormati dan takut kepada guru. Kita ditampar, didenda dan pelbagai hukuman diterima tanpa ada bantahan atau perasaan dendam terhadap guru. Jika mengadu kepada ibu bapa, mereka pula yang meminta supaya hukuman itu ditambah.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan guru disiplin adalah individu paling ditakuti. Terdengar saja bunyi tapak kaki terus bertempiaran masuk ke dalam kelas. Guru pada zaman lalu diberikan kebenaran untuk menjalankan hukuman tanpa mencederakan murid, bergantung pada budi bicara guru itu sendiri, tidak tertakluk kepada guru disiplin, Penolong Kanan HEM, pengetua atau pun guru besar.

Tetapi kini, hendak dijentik sekalipun tidak dibenarkan. Bagaimana pula jika guru berkenaan diserang? Adakah mereka berhak untuk mempertahankan diri? Ibu bapa pada masa kini lebih banyak membela anak mereka dengan membuta tuli, termasuk suka mengugut guru dengan tindakan undang-undang. Adakah mereka prihatin berkenaan dengan disiplin anak mereka? Akibat terlalu sayangkan anak, guru dijadikan mangsa.

Dalam Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan baru-baru ini, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan hanya lebih ditekankan kepada pengurangan tahap buta huruf pelajar. Kenapa tidak diwujudkan sekali NKRA Pendidikan itu mengenai masalah disiplin pelajar?
Saya memohon supaya perkara ini diatasi segera kerana mereka ini generasi kita pada masa hadapan. Jika tidak ditangani sekarang, bayangkan apa lagi masalah yang mungkin timbul 10 atau 20 tahun lagi.

Rasanya tidak sanggup saya menempuh masa berkenaan. Saya berharap apa yang suarakan ini diberikan perhatian secara serius demi keselamatan guru dan masa depan anak kita.

MUHD HABANI HELMI,
Kuala Lumpur.

Minda Pengarang: Kementerian perlu tangani lebihan guru elak pembaziran tenaga pengajar berulang

ADUAN mengenai kekurangan guru di sekolah bukan suatu yang asing. Apabila masalah itu timbul, ia bukan saja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah turut membebankan guru lain. Suatu ketika dulu, kekurangan guru sering ditimbulkan terutama membabitkan subjek kritikal, khususnya Sains dan Matematik. Bagi mengatasi masalah itu, pelbagai langkah dan pendekatan diambil Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Antara usaha dilakukan ialah menambah pengambilan guru pelatih membabitkan dua bidang berkenaan. Akhirnya, kekurangan guru dua subjek berkenaan dapat diatasi sepenuhnya.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila akhbar ini kelmarin melaporkan terdapat pula lebihan kira-kira 26,000 guru di seluruh negara, terutama yang mengajar dua subjek berkenaan. Bilangan yang ramai itu masing-masing membabitkan 14,000 guru Sains dan 12,000 lagi guru Matematik. Keadaan itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan pembaziran tenaga kerana kepakaran guru terbabit tidak dimanfaatkan secara optimum. Selepas guru berkenaan mendapat latihan khusus bagi mengajar subjek berkenaan, malangnya kemahiran mereka tidak digunakan sepenuhnya bagi mengajar dua mata pelajaran yang dianggap penting itu.

Disebabkan guru subjek berkenaan berlebihan, ada antara mereka terpaksa mengajar subjek lain yang tiada kena-mengena dengan opsyen mereka ketika menjalani latihan. Guru yang memiliki kepakaran mengajar subjek Fizik, Kimia dan Biologi diarah mengajar subjek lain seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris, sudah tentu menimbulkan masalah dari segi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Keadaan itu juga pastinya mengecewakan ibu bapa yang mengharapkan anak mereka diajar oleh guru yang mahir dan pakar dalam subjek tertentu. Kita percaya, tentunya ada guru yang kecewa dan hilang semangat kerana terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi kepakaran mereka. Jika dipaksa mengajar bidang yang tidak diminati, ia bukan saja boleh menghilangkan semangat guru terbabit, malah prestasi pelajar juga akan turut terjejas. Penjelasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa lebihan guru terbabit bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar kedudukan masalah itu. Lebihan guru itu berlaku sebenarnya disebabkan penempatan untuk mengajar belum dibuat. Graduan bagi opsyen Sains dan Matematik itu belum ditawarkan penempatan berikutan lebihan penawaran guru subjek terbabit di seluruh negara. Justeru, kita harap Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang diwujudkan dapat mencari penyelesaian bagi menangani masalah itu.

Kedua-dua kementerian perlu membuat unjuran yang lebih tepat bagi memenuhi permintaan guru opsyen berkenaan di semua sekolah. Jika unjuran semasa bagi memenuhi kuota pengambilan guru opsyen berkenaan hanya 50 orang, adalah tidak wajar pengambilan guru pelatih dibuat melebihi daripada unjuran berkenaan. Sewajarnya guru pelatih itu ditawarkan opsyen lain yang dikenal pasti berlaku kekurangan, sebelum mereka diterima masuk menjalani latihan. Kita berharap jawatankuasa bersama antara dua kementerian terbabit dapat mencari kaedah dan penyelesaian terbaik agar masalah lebihan guru tidak berulang pada masa depan.