15.7.11

Formula 1:3:7

Pelajar wajib selesai dalam seminggu di semua peringkat

Berikutan kelewatan menangani beberapa kes disiplin di sekolah sejak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran menetapkan supaya kes disiplin murid wajib diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pada semua peringkat.

Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.

Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahu pun hukuman atau penyelesaian lain yang sudah dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Bagaimanapun jika kes itu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses terbabit tidak dikira dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

Berdasarkan SOP itu, insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada hari pertama meliputi kes berunsur jenayah, kelucahan melampau, keracunan makanan, kemalangan serius, bencana, buli, pergaduhan, isu perkauman, pandemik (contohnya H1N1), histeria atau isu lain yang perlu dilaporkan segera pada pandangan pengetua atau guru besar.

Panduan pelaksanaan SOP itu terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011 bertarikh 28 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, serta dimuat naik dalam laman web Kementerian Pelajaran sejak Selasa lalu.

Abd Ghafar berkata, ada kes disiplin murid yang berlaku di sekolah lambat ditangani sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah, malah kementerian.

“Selain itu, ada juga kes atau insiden yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari berlaku atau selepas diminta kementerian.

“Hal ini menggambarkan kelemahan pengurusan semua peringkat dalam menangani isu ini,” katanya dalam surat pekeliling ikhtisas itu.

Sejak kebelakangan ini, ada isu disiplin murid yang disiarkan di media massa terlebih dulu, membuktikan kelewatan JPN/PPD melaporkan kes itu kepada kementerian.

“Sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi Kementerian Pelajaran amat dikesali dan perlu diperbetulkan,” katanya.

Pelaksanaan SOP itu juga untuk menilai prestasi sesebuah sekolah, PPD dan JPN dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani masalah disiplin murid.

Mengikut SOP itu, laporan mengenai insiden disiplin murid hendaklah disampaikan segera oleh JPN kepada kementerian, iaitu pada hari kejadian jika berlaku di sekolah; pada hari kes tersebar melalui media massa jika berlaku di luar sekolah, ketika cuti atau di luar pengetahuan pihak sekolah; dan jika berlaku di luar sekolah atau ketika cuti di mana pihak sekolah mengetahuinya, maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan kepada JPN.

Enam langkah yang mesti diambil sebagai tindakan dan penyelesaian kes disiplin iaitu:

Langkah pertama (Sekolah) - siasat kes, ambil tindakan awal, buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD), manakala bagi kes atau insiden serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN.

Langkah kedua (PPD) - menyemak maklumat daripada sekolah dan siasat, menghantar laporan awal ke JPN berserta ulasan dan pandangan awal PPD, membantu sekolah menyelesaikan masalah termasuk tindakan wajar, sementara bagi kes atau insiden serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau kementerian.

Langkah ketiga (JPN) - menyemak maklumat daripada PPD dan siasat jika perlu, serta menghantar laporan awal ke kementerian berserta ulasan dan pandangan awal JPN.

Langkah keempat (JPN) - menjalankan siasatan selanjutnya dan menghantar laporan penuh kepada kementerian, termasuk tindakan yang sedang, akan atau sudah diambil oleh pihak terbabit.

Langkah kelima (kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian/BPSH) - membuat ulasan dan pandangan terhadap laporan JPN, membawa laporan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, jika perlu tindakan lanjut maklumkan kepada JPN untuk dibuat, dan JPN melaporkan semula kepada BPSH.

Langkah keenam (BPSH) - mengkaji laporan akhir JPN serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi kementerian.

Rujuk [ B.harian - 15/72011 ]

16.5.11

Berita baik untuk Guru sempena Hari Guru 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Jan depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan telah memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru.

Pelancaran sambutan Hari Guru bertema “Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara” itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.

Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.

“Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun,” kata Perdana Menteri.

Katanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

Kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya, katanya.

Beliau berkata pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

“Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan,” katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Namun guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan, katanya.

Beliau berkata kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.

Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, katanya.

Beliau berkata manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan.

Najib berkata semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru,” katanya.

Rujuk [ BERNAMA - 16/5/2011 ]

12.5.11

Pencemaran udara semakin membimbangkan

Kita baru dikejutkan dengan cadangan pembinaan kilang nadir bumi yang kini sudah pun ditangguhkan berikutan bantahan orang ramai. Rakyat sudah tentu tidak mahu pencemaran radioaktif membelenggui mereka.

Dalam pada kita runsing tentang pencemaran radioaktif, kita juga perlu sedar bahawa pencemaran udara di negara kita juga memerlukan perhatian rapi.

Ini kerana pencemaran udara sudah berada di tahap serius, terutama sekali di bandar besar seperti Lembah Klang.

Lihat sahaja keadaan persekitaran Lembah Klang apabila hujan tidak turun. Apabila hujan tidak turun, maka Lembah Klang pasti mengalami cuaca berjerebu, seperti yang kita alami dalam sehari dua ini.

Pelbagai faktor dapat dikaitkan dengan cuaca berjerebu ini, seperti perubahan musim, angin barat daya, cuaca panas dan sebagainya.

Itu semua adalah faktor semula jadi. Walau bagaimanapun, kita tidak harus lupa tentang faktor yang lebih penting lagi, iaitu perbuatan manusia itu sendiri.

Tahap pencemaran udara di Lembah Klang kini sudah teruk, yang mana kita memerlukan hujan yang berterusan bagi mengekalkan kualiti udara pada tahap yang boleh diterima. Jika hujan tidak turun, maka cuaca menjadi berjerebu.

Faktor semula jadi yang disebutkan di atas hanyalah faktor sampingan kerana pada musim lain juga, keadaan yang sama berlaku, yang mana tanpa hujan, cuaca menjadi berjerebu.

Maka ini menunjukkan bahawa punca utama keadaan berjerebu adalah faktor manusia dan bukannya faktor alam.

Diharap pihak berkuasa dapat meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah pencemaran udara yang semakin membimbangkan.

Malaysiakini 12.5.11

Atasi isu bahasa kebangsaan dengan serius

KEBELAKANGAN ini, pelbagai isu giat dibangkitkan berkenaan dengan bahasa kebangsaan. Daripada rancangan menghantar guru mengajar Bahasa Malaysia di luar negara hinggalah ke peminggiran bahasa Kebangsaan pada iklan dan sektor swasta serta ketandusan kefasihan pelakon bukan Melayu.

Saya sedih dan terkilan melihat ada pihak yang mempolitikkan segala yang berhubung isu bahasa kebangsaan.

Persoalannya, siapakah yang tidak terdaya menguasai Bahasa Malaysia? Saya sudah tidak larat lagi melayari laman agensi awam yang ghairah dengan Bahasa Melayu-ciplak.
Susun kata bagai diterjemah terus daripada bahasa Inggeris tanpa mengambil kira nahu bahasa Melayu. Sebagai keluaran sekolah Melayu dan kini bekerja sebagai penterjemah sambilan, bagi saya gelagat campur aduk ini amat tidak bertanggung-jawab dan menyinggung.

Sia-sia saya bertungkus-lumus memahirkan diri dengan bahasa Malaysia sedangkan kebanyakan masyarakat hari ini lebih selesa dengan perkataan seperti ‘integriti’, ‘informasi’, ‘kombinasi’, ‘sensitif’, berbanding ‘ketelusan’, ‘maklumat’, ‘gabungan’ atau ‘peka’. Mungkin benar ungkapan bahasa rasmi kini seumpama ‘sekerat ular, sekerat belut’.

Perlukah guru Bahasa Malaysia dipindah ke luar negara tetapi jurang tempatan belum lagi didekati? Siapakah yang meluluskan papan iklan?

Cepat sangat kita menuding jari kepada orang lain tanpa menilai diri sendiri. Mungkin inilah yang dikatakan, kuman di lautan nampak tetapi gajah di depan mata tidak.

Berita Harian 12.5.11

Minda Pengarang: Bahasa Melayu mampu jadi bahasa perantara antarabangsa

ANTARA langkah boleh diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperluaskan penggunaannya ialah dengan memperkenalkannya pada peringkat antarabangsa. Ia selaras dengan usaha dilakukan negara Eropah dan Asia dengan menggunakan bahasa rasmi tuan rumah pada persidangan yang dianjurkan tanpa menjejaskan kelancaran majlis berkenaan. Sidang dianjurkan itu tetap berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah kerana wakil negara asing boleh menggunakan alat bantuan penterjemahan bagi mendengar mesej disampaikan negara tuan rumah. Malah terdapat juga ucapan dasar pemimpin negara tertentu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disampaikan menggunakan bahasa kebangsaan mereka, dan ia berlangsung dengan lancar tanpa mendapat bantahan atau menjejaskan perjalanan forum antarabangsa itu. Menyedari hakikat itu, cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa acara peringkat antarabangsa dianjurkan di Malaysia mungkin dikendalikan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya bukan sesuatu yang janggal, malah ia selari dengan amalan negara lain sama ada di rantau ini mahupun rantau lain. Malah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, menyampaikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta baru-baru ini dalam bahasa Indonesia tanpa sebarang masalah, walaupun dihadiri pemimpin pelbagai negara.

Bahasa Indonesia dan bahasa Melayu yang digunakan di negara ini adalah antara bahasa yang difahami oleh sebahagian besar penduduk di Asia Tenggara atau ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan beberapa negara serantau lain. Seperti negara lain, pelaksanaannya dijangka tidak mendatangkan masalah besar dengan syarat segala kemudahan dan keperluan logistik disediakan. Ini termasuk menyediakan penterjemah yang berkemahiran tinggi dalam bahasa asing yang sering digunakan pada peringkat antarabangsa meliputi bahasa Inggeris, Perancis, Arab, China, India dan Sepanyol. Walaupun Malaysia adalah sebuah negara majmuk, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang dipelajari sejak dari sekolah rendah lagi dan sudah semestinya ia mampu menjadi bahasa perantara rasmi pada majlis kerajaan dan swasta. Kita berharap cadangan yang dikemukakan Muhyiddin itu akan mula dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan kerajaan serta agensi di bawahnya dengan segera agar menjadi contoh kepada sektor swasta ketika menganjurkan seminar, persidangan dan mesyuarat sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Selaras dengan dasar itu, adalah wajar menteri dan pegawai tinggi kerajaan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan pada sidang media dan majlis rasmi yang dihadiri mereka bagi menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita

Berita Harian 12.5.11

Godam : ' Apakah saya munafik bahasa Melayu?'

TERSENTUH hati penulis apabila menyaksikan Timbalan Perdana Singapura, Wong Kan Seng, berucap dalam bahasa Melayu pada kempen Parti Tindakan Rakyat (PAP) di kawasan undi perwakilan berkumpulan (CRC) Aljunied sempena Pilihan Raya Singapura yang baru lalu.

Meskipun alasan di sebalik penggunaan bahasa Melayu adalah percubaan pemimpin itu memenangi hati pengundi Melayu yang semangat mereka dibakar parti pembangkang, setidak-tidaknya bahasa Melayu yang digunakan sempurna, bukan bahasa rojak dan disebut mengikut sebutan Johor-Riau
Hakikat PAP tewas di tangan Parti Pekerja (WP) utk SRC Aljunied, usaha pemimpin mereka bertutur dalam bahasa Melayu yang fasih dan kain rentang kempen ditulis dalam bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin serta Melayu, meskipun dalam saiz aksara berlainan, cukup bermakna.
Berbeza sekali dengan situasi di Malaysia, baik kelompok marhaen mahupun borjuis khususnya di bandar, semua berlumba-lumba bertutur dalam bahasa Inggeris tanpa mengira siapa khalayak sasar mereka, dalam perlumbaan membuktikan betapa antarabangsanya bahasa Inggeris.

Lalu dalam perlumbaan yang tiada garis pemula dan penamat itu, ramailah yang bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang bercampur aduk, selain terjadi sebutan yang bercampur aduk ekoran tidak tahu membezakan antara e taling dan e pepet.

Serangan demi serangan diatur untuk menidakkan wibawa bahasa Melayu dan percubaan memastikan Dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dihidupkan semula demi kepentingan kelompok tertentu.

Kepentingan menerima bahasa melambangkan bangsa dan jati diri rakyat Malaysia tidak dirasai kelompok yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris, sehingga menutup akal budi mereka untuk menerima Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Sudah pasti hati pejuang bahasa sejuk dengan berita terkini berhubung permintaan Pengerusi Malaysia Danish Association (MDA), Poo Chu Chua, pada jamuan makan malam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rakyat Malaysia yang menetap di Denmark.

Dapat dibayangkan betapa bimbangnya mereka kemungkinan keturunan masing-masing tidak lagi tahu bertutur dalam bahasa Melayu dan mengenali sejarah budaya negara tumpah darah mereka sehingga kerjasama dipohon daripada Kementerian Pelajaran agar dihantar guru bahasa Melayu.

Teringat lagi kerinduan sasterawan veteran wanita, Khadijah Hashim untuk bertutur dalam bahasa Melayu ketika mengikuti Program Penulisan Antarabangsa (IWP) selam enam bulan di Iowa Universiti, Amerika Syarikat, pada 1994 yang penulis sambut dengan senyuman.

Rasa aneh penulis dengan kerinduan Khadijah menimpa diri ketika berkunjung ke Sri Lanka pada 1996 kerana tugas selama 10 hari dan sebagai satu-satunya Melayu dalam kelompok wartawan dari seluruh dunia ketika itu, rasa rindu untuk bertutur dalam bahasa Melayu hanya dapat dipendamkan.

Begitu juga dengan pengumuman Muhyidin akan kemungkinan menggunakan bahasa Melayu pada program antarabangsa sebagai langkah memartabatkan bahasa terbabit seperti yang dilakukan Indonesia.

Sebenarnya Muhyidin tidak perlu bimbang dengan prasarana bagi pelaksanaannya kerana sejak sekian lama ia sudah disediakan dan ini termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu.

Bukan saja Indonesia sudah melakukan perkara ini, tetapi juga China, Korea, Jepun, Perancis dan Jerman, sudah lama memartabatkan bahasa mereka sendiri dalam segala urusan negara mereka termasuk dalam hal berhubungan dengan orang asing kerana dasar bahasa melambangkan bangsa.

Malaysia saja yang nampak seakan-akan berdolak-dalik dalam hal bahasa Melayu, meskipun hakikatnya daripada segi perundangan ia sudah termaktub, tetapi daripada segi pelaksanaan sentiasa berpatah balik, seolah-olah bimbang dengan bayangan bahasa penjajah!

Pasti ramai yang dapat memberi jawapan sejauh mana keberkesanan peraturan baru yang mensyaratkan pengiklan merujuk dulu kepada DBP berkuatkuasa tahun lalu sebelum pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi lesen akan dipatuhi.

Begitu juga dengan hal pembudayaan bahasa di stesen radio negara ini, ia tidak sepatutnya timbul lebih-lebih lagi jika sememangnya bersiaran dalam bahasa terbabit dan situasi ini seolah-olah suatu lelucon!

Dalam hal memartabatkan dan memasyarakatkan bahasa Melayu di negara ini, suatu yang pasti sesetengah individu Melayu tampil lebih munafik daripada bukan Melayu dan lebih membimbangkan apabila kelompok ini memegang tampuk kepimpinan sesebuah institusi!

Tiada maknanya Malaysia menubuhkan Kerusi Pengajian Melayu di luar negara, menghulur bantuan untuk program bahasa Melayu Radio Beijing, DBP melantik Munsyi Bahasa dan Radio BBC pernah berkumandang dengan bahasa Melayu, jika di dalam negara, bahasa Melayu diperlekeh dan diperkotak-katikkan!

Berita Harian 12.5.2011

9.5.11

360 darjah ganti PTK

Mulai 1 Julai depan prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru yang nama khususnya sedang dikenal pasti, akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada 1 Januari lalu, selepas digunakan selama lapan tahun sejak 1 November 2002.

5.5.11

Isu Karangan Tingkatan 6

Isu-isu dalam Soalan Karangan


2002
1. Institusi kekeluargaan
2. Pasar raya
3. Minat membaca
4. Bekalan air


2003
1. Pencemaran sungai
2. Pasaran buku ilmiah
3. Kegiatan cetak rompak
4. Sistem pengangkutan awam


2004
1. Perpaduan dalam kalangan penduduk
2. Penggunaan racun serangga
3. Kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran
4. Budaya sains dan teknologi


2005
1. Aktiviti sukan
2. Pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini
3. Kegawatan ekonomi
4. Tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga


2006
1. Kitar semula
2. Siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian
3. Program bersifat realiti
4. Golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan


2007
1. Patriotisme dalam kalangan rakyat
2. Gejala obesiti atau kegemukan
3. Kegiatan seni budaya tradisional
4. Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu


2008
1. Telefon bimbit
2. Gejala rasuah
3. Hak Pengguna
4. Rancangan televisyen


2009
1. Industri desa
2. Muzik
3. Penguasaan lebih daripada satu bahasa.
4. Perpaduan kaum


2010
1. Pembakaran secara terbuka
2. Ilmu seni pertahanan diri
3. Penglibatan remaja dalam kumpulan samseng
4. Industri pelancongan


Isu yang Dicadangkan Pada Tahun 2011
Isu yang disenaraikan di bawah belum pernah dikemkakan lagi dalam peperiksaan STPM dari tahun 2002 hinggalah tahun 2010. Oleh itu, isu yang disenaraikan di bawah ini bolehlah dijadikan latihan untuk menulis karangan. Dengan berdasarkan analisis isu tersebut, terdapat juga isu yang dikemukakan sebanyak dua kali iaitu perpaduan kaum. Selain isu yang dicadangkan di bawah, cubalah isu-isu lain yang boleh dibincangkan dengan guru dan rakan.


1. Pemanasan Global
2. Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa
3. Bangunan atau Tempat Bersejarah
4. Bencana Alam
5. Kecemerlangan Pendidikan/Sekolah Berprestasi Tinggi
6. Perniagaan Internet
7. Jenayah Ragut
8. Penggunaan Kad Kredit
9. Masalah Perumahan
10. Penyakit kanser
11. Gejala Pembuangan Bayi
12. Masalah Keracunan Makanan
13. Pelaburan Asing
14. Pengangkutan Awam
15. Perubatan Alternatif
16. Kes Penculikan Kanak-kanak
17. Adat Resam
18. Orang Gaji Asing/Pendatang Asing
19. Pertanian Moden
20. Kebanjiran Drama Bersiri Asing/Filem Asing

Latar Masyarakat Novel Kembara Amira

1. Masyarakat pelajar - Amira, Jacinta dan Itai merupakan pelajar sekolah yang sedang bercuti.


2. Masyarakat yang mementingkan persahabatan - Amira dan Jacinta bersahabat baik dan menjaga nilai-nilai persahabatan serta saling menghormati dan tidak pernah bersengketa dalam sebarang perkara. Amira dan Itai sanggup mencari ketulan emas untuk dihadiahkan kepada Jacinta walaupun tindakan itu membahayakan diri mereka sendiri.


3. Masyarakat yang sayang akan alam sekitar - Tau tidak suka akan orang yang merosakkan dan memusnahkan hutan dan binatang yang terdapat di dalam hutan. Malique juga tidak mahu hutan itu dirosakkan atau dimusnahkan.


4. Masyarakat orang Asli - Ludin, Tau dan Itai merupakan orang Asli yang tinggal di kawasan Bukit Mat Raya.


5. Masyarakat yang gigih berusaha - Profesor Zaidah, Dr. Zawawi dan pelajar-pelajarnya gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan.


6. Masyarakat yang suka menolong orang - Itai menyelamatkan Amira daripada mati lemas dan Tau pula menyelamatkan Jacinta.


7. Masyarakat yang mementingkan muafakat - Masyarakat kampung berbincang untuk membuat keputusan dalam menghadapi sebarang permasalahan seperti peristiwa Itai yang membawa Amira ke sungai yang ada ketulan emas.


8. Masyarakat yang berani - Amira dan Itai berani untuk pergi ke gua Gajah untuk menyelamatkan Malique. Mereka juga berani berhadapan dengan makhluk berbulu yang mengurung Malique.


9. Masyarakat yang kuat semangat - Amira kuat semangat ketika cuba melawan arus dan tangannya cuba memeluk batu-batu yang terdapat di sepanjang sungai tetapi gagal kerana batu-batu itu licin.


10. Masyarakat yang penyayang - Profesor Zaidah merupakan ibu yang penyayang kerana walaupun sibuk, dia masih mengambil berat keselamatan Amira. Begitu juga dengan Tau yang sangat sayang akan anaknya iaitu Malique atau Sabi.


11. Masyarakat yang ikhlas - Pak Lias ikhlas menegur Profesor Zaidah tentang Amira yang seolah-olah diabaikannya. Amira pula memberikan ketulan emas itu kepada Ludin setelah diminta oleh Ludin kerana dia ikhlas dan tiada tujuan lain, selain hendak memberikan ketulan emas tersebut kepada Jacinta sebagai hadiah.


12. Masyarakat yang patuh akan arahan - Pak Lias menghormati dan taat akan arahan Profesor Zaidah serta menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh ketuanya itu. Dr. Zawawi juga patuh akan arahan yang diberikan oleh Profesor Zaidah.


13. Masyarakat yang menghormati orang lain - Itai menghormati orang yang lebih tua daripadanya, contohnya dia menghormati Ludin dan Tau dan tidak membantah cakap mereka.


14. Masyarakat yang mahir dalam perubatan tradisional - Ludin berkemahiran untuk merawat Profesor Zaidah yang terseliuh tangannya hingga sembuh dengan menggunakan perubatan tradisional iaitu daripada buluh, daun kayu dan ramuan daripada akar kayu.


15. Masyarakat yang mengakui kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan - Profesor Zaidah mengakui kesilapannya yang mengutamakan kerjanya dan mengabaikan Amira terutamanya selepas dia hampir mati lemas di sungai.



(oleh Cikgu Mohd Khir Kassim)

Nilai Murni dalam Kembara Amira

1. Tolong-menolong - sebagai contohnya, Itai menolong Amira dengan menyelamatkannya daripada lemas di sungai. Jacinta pula membawakan Amira makanan untuk makan malam ke khemahnya.


2. Kerjasama - contohnya Itai dan Ludin memberikan kerjasama dalam gerakan atau usaha untuk mencari Malique yang hilang.


3. Hormat-menghormati - contohnya Amira menghormati emaknya dan juga orang lain seperti Dr. Zawawi, Itai dan Ludin dan tidak pernah meninggikan suara atau bersikap kurang sopan kepada mereka.


4. Kegigihan - contohnya Amira gigih berusaha untuk mencari Malique yang hilang dengan bantuan Itai. Pelajar-pelajar Profesor Zaidah pula gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan itu walaupun diganggu oleh pelbagai bunyi pada waktu malam.


5. Kasih sayang - contohnya ibu Amira amat menyayanginya dan ada masa untuknya walaupun dia sibuk dengan tugasnya. Jennifer pula sayang akan anaknya iaitu Malique dan sanggup datang ke hutan itu untuk mengikuti perkembangan dan keadaannya setelah mendapat berita bahawa anaknya itu hilang di dalam hutan..


6. Kesabaran dan ketekunan - contohnya pelajar-pelajar Profesor Zaidah bersabar dan tekun menjalankan kerja lapangan di tapak ekskavasi atau kerja lapangan walaupun menghadapi pelbagai masalah dan rintangan.


7. Taat akan agama – selepas menunaikan solat subuh, semua pelajar masih tidur kerana keletihan. Amira mengqada solat Subuh apabila sampai di Stesen Dahan Hijau kerana tidak sempat menunaikannya semasa di dalam kereta api.


8. Belas kasihan – Pak Lias kasihan kepada Amira iaitu apabila Profesor Zaidah seolah-olah tidak mempedulikan anak tunggalnya itu.


9. Sayang akan alam sekitar - Tau dan Malique tidak suka akan orang yang merosakkan dan memusnahkan hutan dan binatang yang terdapat di dalam hutan itu.


10. Keikhlasan - Ludin merawat tangan Profesor Zaidah yang terseliuh dengan menggunakan kaedah perubatan tradisional setiap hari dengan ikhlas.


11. Mengakui kesilapan - Profesor Zaidah mengakui kesilapannya iaitu pada mulanya dia kurang yakin dengan rawatan yang hendak diberikan oleh Ludin tetapi cara rawatan yang diberikan oleh Ludin benar-benar berkesan. Beliau juga mengakui kesilapannya yang mengabaikan Amira hingga dia hampir mati lemas di sungai kerana terlalu mementingkan kerjanya.

Posted by Cikgu Mohd Khir Kassim

Karangan tingkatan 6

Dengan berdasarkan isu-isu karangan yang telah disenaraikan tadi, murid-murid bolehlah memikirkan fokus soalannya. Murid-murid perlu berlatih untuk membina soalan sendiri berdasarkan fokus soalan tersebut. Hal ini dapat membantu murid untuk mempertajam pemikiran bagi menulis karangan. Sila teliti soalan tahun lepas dan binalah soalan sendiri berdasarkan soalan-soalan yang pernah dikeluarkan dalam peperiksaan STPM sebagai panduan. Sebagai contoh, berdasarkan isu ’Bangunan atau Tempat Bersejarah’ seperti yang disenaraikan tadi, dapatlah dibina soalan iaitu:

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut dan usaha untuk memuliharanya.

Isunya ialah bangunan atau tempat bersejarah dan fokus soalannya ialah kelebihan bangunan tersebut dan usaha untuk memuliharanya. Berdasarkan soalan contoh tersebut, murid-murid bolehlah membina soalan sendiri berpandukan isu-isu lain yang telah dikemukakan sebelum ini.

Murid-murid juga perlu sedar bahawa menulis karangan ialah kemahiran yang perlu digilap melalui latihan yang konsisten dan berterusan. Sekiranya murid-murid tidak membiasakan diri dengan latihan untuk menulis karangan sudah pasti murid-murid akan menghadapi masalah dan berasa kekok untuk menulis karangan semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Oleh hal yang demikian, murid-murid perlulah mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menulis satu atau dua perenggan karangan setiap hari. Murid-murid perlulah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya lima belas minit untuk menulis satu perenggan karangan setiap hari. Jadikan perkara tersebut sebagai amalan harian yang perlu dilakukan seperti amalan menunaikan solat lima waktu setiap hari. Insya Allah, jika amalan ini dilakukan, sudah pasti murid-murid dapat menguasai kemahiran mengarang, seperti kata peribahasa Melayu, "Alah bisa tegal biasa". Anda pasti akan berasa seronok untuk mengarang dan soalan karangan bukanlah soalan yang sukar untuk dijawab.

Saya suka menekankan aspek penulisan karangan ini kerana banyak murid yang menghadapi masalah untuk menulis karangan dan menganggap penulisan karangan sebagai suatu perkara yang amat sukar dan berat untuk dilakukan. Hal ini menyebabkan murid tidak mahu membuat latihan secara bersistematik seperti yang selalu diingatkan oleh guru. Oleh itu, murid-murid hendaklah mengubah persepsi tersebut dan jadikan amalan menulis satu atau dua perenggan karangan sekurang-kurangnya setiap hari sebagai satu budaya atau amalan seharian sehingga pada hari peperiksaan. Jangan lupa untuk mendapatkan komen daripada guru tentang karangan yang telah anda tulis itu. Ingatlah bahawa dengan membuat latihan yang konsisten, sudah pasti murid-murid akan dapat menulis karangan yang mantap dan cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Kesantunan Bahasa - Bab 10

Kesantunan Berbahasa - tingkatan 6

Definisi
Kehalusan budi bahasa dalam pemakaian atau penggunaan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan bahasa. Dalam kesantunan berbahasa, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama.


Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan.
Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar ``disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tata tertib.''

Kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya ialah laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan ialah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli dan sebagainya.
Kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan. Contohnya ialah seperti panggilan , Pak, Mak, abang, Tok, dan sebagainya lagi. Semua panggilan tersebut dikenali sebagai jenama kekeluargaan.

Jenama kekeluargaan
Terbagi kepada;
i. Jenama kekeluargaan pertalian darah (Pak Long, Mak Long, Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Lang, Mak Lang, Pak Njang, Mak Njang, Pak Cik, Mak Cik, Pak Su, Mak Su.
Gabungan nama kekeluargaan asas (Abang (bang) dan Kak dengan jenama kekeluargaan pertalian darah hanya terbatas kepada Long, Ngah dan Cik seperti Bang Long, Kak Long, Bang Ngah, Kak Ngah, Bang Cik dan Kak Cik.
ii. Jenama kekeluargaan ikatan perkahwinan
Diwakili oleh kata menantu, mentua dan ipar. (Pak Mentua, Mak Mentua dan Tok Mentua). Ipar digunakan untuk merujuk kepada ahli-ahli dalam keluarga suami atau isteri selain menantu danmentua. Contoh: abang ipar, kak ipar, adik ipar mak long ipar, mak ngah ipar dan sebagainya.

Gelaran Pergaulan Biasa
Biasanya Cik digunakan untuk perempuan yang belum berkahwin, manakala Encik untuk lelaki sahaja.

Gelaran Pergaulan (Formal)
Tuan - digunakan untuk lelaki yang lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri, dan orang lelaki bergelar Haji, Doktor, Profesor dan Syed.
Encik, Cik - boleh digunakan untuk orang lelaki yag lebih tinggi pangkatnya, daripada kendiri seperti Encik Ahmad atau Cik Ahmad.
Puan - untuk perempuan sahaj ayang pangkatnya lebih tinggi daripada kendiri, dan perempuan yang mempunyai gelaran Doktor, Profesor dan sebagainya.
Saudara - digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang seumur dengankendiri atau lebih muda, dan hubungannya belum rapat dewngan kendiri atau digunakan dalam rujukan kepada ahli-ahli dalam mesyuarat,perbahasan dan sebagainya.
Saudari - digunakan untuk perempuan sahaja dalam konteks yang sama dengan penggunaan gelaran saudara.
Tetuan - hanya digunakan dalam surat rasmi yang ditujukan kepada para pemilik atau pentadbir syarikat perniagaan (termausk syarikat guaman) seperti: Tetuan Syarikat Sinaran Sdn. Bhd.)

Gelaran Warisan

Raja (Perak, Selangor), Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda (Brunei Darussalam) Tengku (Kelantan, Pahang, Kedah, Terengganu).
Gelaran keturunan orang-orang besar
Megat dan Puteri (Perak), Nik (Kelantan), Wan (Kelantan, Terengganu), Abang (Sarawak); Datu (Sabah), Awangku, Pangeran dan Dayangku (Brunei Darussalam), Tan (di Kedah) dan Tun (Terengganu)
Gelaran warisan kepada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti syed atau sayid bagi lelaki dan Syarifah bagi perempuan. Sesetengah pihak mengatakan bahawa gelaran Syarif, Syekh dan Siti juga tergolong ke dalam gelaran jenis ini.
Gelaran warisan daripada keturunan yang berasal dari luar Malaysia
Raden (Jawa), Daeng (Bugis), Sidi, Sutan (Minangkabau), Teuku dan Teungku (Aceh).

Gelaran Kurniaan

Tun, Toh Puan, Puan Sri, Datuk (Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk Setia), Datuk (Satuk Patingi, Datuk Amar), Datin Paduka (gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan negeri Selangor), Toh Puan (isteri kepada datuk di Terengganu)
Pendeta Za'aba (gelaran kurniaan yahng diberikan oleh pertubuhan seperti Kongres Bahasa Melayu Ketiga (1956). Gelaran Bapa Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Gelaran Ikhtisas

Gelaran bagi individu yang diperoleh melalui pencapaian atau kejayaan akademk atau kemahiran dalam bidang tertentu seperti Profesor,Doktor,Ustaz dan Ustazah.


Gabungan Gelaran
(a) kekeluargaan + keagamaan. - Pak Haji
(b) Pergaulan Tak Bersahaja (kecuali saudara) + Keagamaan. - Tuan Haji
(c) Kekeluargaan + warisan (hanya Ungku, Engku, Wan, Nik) - Pak Ungku, Mak Ungku, Mak Wan, Pak Nik.
(d) Pergaulan Tak Bersahaja + Keagamaan + Warisan (hanya Nik). Contoh: Tuan Haji Nik
(e) Warisan (Kecuali Nik) + Keagamaan. - Raja Haji
(f) Kurniaan Kerajaan + Akademik/Ikhtisas + Warisan + Keagamaan. - Tan Sri Prof. Raja Haji Osman

Rujukan Hormat

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ,Sultan, Raja, Sultanah
Duli Yang Maha Mulia

Balu Raja
Yang Maha Mulia

Raja Muda atau Tengku Mahkota
Duli Yang Teramat Mulia atau Yang Teramat Mulia

Kerabat Diraja Karib
Yang Amat Mulia

Bergelar warisan
Yang Mulia

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri
Yang Amat Berhormat

Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (wakil rakyat)
Yang Berhormat

Wakil Rakyat yang mempunyai gelaran Tengku atau Raja
Yang Berhormat Mulia

Tun, Toh Puan
Yang Amat Berbahagia

Yang mempunyai gelaran kurniaan atau gelaran iktisas yang formal
Yang Berbahagia

Ketua Hakim Negara
Yang Amat Arif

Ketua Polis Negara
Yang Amat Setia

Hakim, Kadi
Yang Arif

Mufti dan pemimpin Islam
Sahibul Samahah

Ketua jabatan tanpa gelaran
Yang Berusaha

Apabila kanak-kanak tidak menonton TV

KEBANYAKANNYA akan bermain di taman permainan, menghabiskan masa dengan berbual-bual atau bermain dengan adik-beradik atau ibu bapa mereka.

Manakala yang lain pula membaca buku, mewarna, melukis, malah ada yang membersihkan haiwan peliharaan mereka. Tidak ketinggalan juga yang menolong ibu melipat pakaian, memasak atau membersihkan rumah.

Demikian antara aktiviti yang tercatat dalam buku laporan kanak-kanak yang berusia lima hingga enam tahun di Tadika Kinderlands, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, yang terlibat dalam Kempen Minggu Tidak Menonton TV.

Kempen anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) itu berlangsung pada 21 hingga 27 April lalu.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Fomca, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kempen tersebut dianjurkan bertujuan mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap rancangan di televisyen bagi mengisi masa lapang mereka.

Katanya, melalui kempen ini kanak-kanak yang terlibat tidak dibenarkan menonton TV sepanjang tempoh tersebut.

Mereka juga diminta mencatatkan aktiviti yang dilakukan sebagai pengganti kepada masa menonton TV di dalam buku laporan yang kemudian dibentangkan di hadapan rakan-rakan kelas dan ibu bapa mereka di tadika berkenaan.

"Ketika pembentangan laporan kanak-kanak ini diminta untuk melukiskan aktiviti yang dilakukan semasa tidak menonton tv.

"Mereka melakarkan lukisan bermain di taman permainan, membuat aktiviti bersama-sama keluarga, melawat zoo, malah ada yang berkelah di pantai," katanya.

Daripada apa yang dilaporkan oleh kanak-kanak ini menurut Mohd. Yusof, jelas membuktikan bahawa kanak-kanak ini mengambil perhatian yang serius terhadap kempen ini.

Ini kerana sepanjang kempen berlangsung bukan saja mereka tidak menonton TV malah ada sesetengahnya meminta ibu bapa atau adik-beradik mereka turut menutup televisyen.

"Kami juga mendapat maklum balas yang menarik daripada ibu bapa yang rata-ratanya berasa kagum apabila anak-anak mereka tidak menunjukkan sebarang bantahan ketika diminta untuk tidak menonton TV.

"Memang pada awalnya ibu bapa agak bimbang dengan apa yang akan dilakukan oleh anak-anak mereka nanti.

"Namun kebimbangan itu hilang apabila mendapati anak-anak bijak merancang aktiviti mereka sendiri," katanya.

Mohd. Yusof berkata, para ibu bapa kanak-kanak berkenaan turut melahirkan rasa gembira apabila mendapati anak-anak mereka melakukan aktiviti yang aktif dan positif, daripada hanya duduk menonton TV sahaja.

Malah katanya, ada ibu bapa yang mencadangkan kempen itu diadakan pada setiap bulan bukan sekadar seminggu dalam setahun.

Menurut Mohd. Yusof, melihat daripada manfaat yang diperoleh melalui kempen tersebut tidak mustahil jika ia boleh diperluaskan kepada orang dewasa.

"Jika kanak-kanak tadika boleh menganggap bahawa Kempen Tidak Menonton TV sebagai sesuatu yang serius, apatah lagi golongan dewasa yang sepatutnya mendidik anak-anak mereka ke arah itu," katanya.

Utusan Malaysia - 5/5/2011

Sistem pendidikan perlu utama pembinaan karakter pelajar

2011/05/05
MASALAH disiplin di sekolah bukanlah satu perkara baru, tetapi ia sudah lama wujud. Namun yang menjadi persoalan hanyalah tahap masalah dan sejauh mana ia dapat ditangani secara berkesan oleh pihak sekolah terbabit.

Jika terdapat masalah disiplin yang serius di mana-mana sekolah, banyak pihak yang mesti bertanggungjawab. Ia bukanlah terletak di bawah tanggungan pihak pengurusan sekolah saja. Ibu bapa, pihak polis dan masyarakat secara keseluruhan mesti memainkan peranan masing-masing untuk menangani disiplin pelajar.
Sementara pihak sekolah mengambil langkah untuk memperketat disiplin di kalangan pelajar, pegawai perhubungan polis harus lebih kerap melawat ke sekolah untuk berinteraksi dengan pelajar dan guru untuk mengelakkan mereka daripada terbabit dalam gangsterisme dan jenayah lain. Kelab Pencegahan Jenayah di semua sekolah perlu lebih proaktif untuk mendidik pelajar mengenai kesedaran pencegahan jenayah dan juga meneliti masalah disiplin di sekolah.

Hal ini membawa saya kepada isu yang sangat penting iaitu pembangunan karakter di dalam mana-mana sistem pendidikan.

Karakter adalah petanda sebenar mengenai apa yang diperlukan untuk anak dan orang dewasa sama ada untuk berjaya dalam hidup atau membuka jalan bagi generasi seterusnya untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran dunia.

Kita semua perlu memandang serius mengenai bagaimana generasi pemimpin masa hadapan di Malaysia sedang dibangunkan. Kita perlu membina kemahiran dan karakter.
Kejayaan sistem pendidikan kita bukan saja diukur pada pencapaian akademik pelajar, ia juga perlu diukur sejauh mana sistem pendidikan kita dapat melahirkan insan yang berkualiti, memiliki integriti dan berdisiplin, berkarakter, berpengetahuan, sikap mereka terhadap pekerjaan, mampu bekerja dalam satu pasukan, serta rasa tanggungjawab dan komitmen kepada masyarakat.

Sememangnya, karakter, sikap dan nilai anak muda adalah aspek penting yang perlu kita bentuk dan pelihara.

Walaupun penting bagi kita bahawa pelajar patut mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama, memenangi anugerah pada pertandingan peringkat antarabangsa, tetapi sama pentingnya adalah pembangunan holistik mereka.

Kita harus memastikan pembangunan personaliti pelajar adalah seimbang sehingga mereka dapat mengambil kira aspek moral, kognitif, fizikal, sosial dan estetika.

TAN SRI LEE LAM THYE
Berita Harian

Kajian kurikulum Sejarah tidak wajar cetuskan prasangka buruk rakyat

2011/05/05
TRANSFORMASI pendidikan membabitkan kurikulum sekolah rendah dan menengah membuktikan kerajaan amat prihatin dengan perkembangan pendidikan disediakan untuk rakyat. Langkah itu dilakukan secara menyeluruh bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang akademik dan kokurikulum, malah bertujuan membentuk masyarakat patriotik yang mampu mengamalkan semangat perpaduan. Kajian semula kurikulum, khususnya bagi mata pelajaran Sejarah tentunya mengambil kira beberapa perkara yang boleh membentuk keperibadian pelajar yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Justeru, adalah penting dalam melakukan transformasi ini, apa juga fakta tidak tepat diperbetulkan dan diselaraskan agar tidak timbul perasaan tidak puas hati mana-mana golongan dalam masyarakat apabila Sejarah menjadi antara mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Langkah mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji maklum balas dan pandangan semua pihak termasuk guru, pelajar, pensyarah maktab perguruan dan penyelidik di pusat pengajian tinggi adalah langkah bijak dan kena pada masanya.

Jawatankuasa dianggotai 10 tokoh akademik mewakili semua kaum itu, termasuk dari Sabah dan Sarawak serta pakar perundangan diberi tempoh setahun menyemak semula kurikulum mata pelajaran Sejarah sejajar Dasar Pendidikan Kebangsaan serta hasrat kerajaan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Antara lain jawatankuasa itu dikehendaki menentukan hala tuju perkembangan kurikulum mata pelajaran Sejarah untuk merealisasikan keperluan semasa dan cabaran masa depan. Ia juga akan mengkaji kesesuaian kandungan kurikulum buku teks Sejarah sedia ada dan kesan hasil pembelajaran subjek itu terhadap penghayatan dan pengamalan perpaduan serta semangat patriotisme, terutama di kalangan generasi muda dewasa ini. Sebagai langkah memperbaiki maklumat yang mungkin memerlukan pembetulan, adalah wajar jawatankuasa berkenaan melihat semula ketepatan fakta dalam kurikulum dan buku teks sebelum membuat perakuan mengenai hasil kajian itu kepada Menteri Pelajaran. Sesuai dengan hasrat kementerian mewajibkan setiap pelajar lulus subjek Sejarah pada peringkat SPM, adalah wajar semua pihak memberi kepercayaan penuh kepada jawatankuasa dilantik dan tidak sepatutnya mencetuskan sebarang prasangka buruk mana-mana kaum agar matlamat kerajaan dapat dicapai.
Seperti kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, matlamat kurikulum Sejarah yang akan diperkenalkan kelak, harus mampu melahirkan pelajar yang cintakan tanah air, sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara sejajar gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri. Kajian itu adalah juga sebahagian daripada transformasi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang diguna pakai sekarang. Mulai 2014 Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang mula diguna pakai pelajar Tingkatan Satu, sementara Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) membabitkan murid Tahun Satu. Bagaimanapun, murid yang memasuki Tahun Satu tahun ini akan mempelajari mata pelajaran Sejarah buat pertama kali di sekolah rendah apabila mereka melangkah ke Tahun Empat. Langkah ini menggantikan mata pelajaran Kajian Tempatan yang dipelajari sekarang bagi menerapkan nilai kewarganegaraan di kalangan generasi muda yang semakin terhakis.

Tawaran baharu kursus perubatan di IPT dibekukan

05/05/2011 1:20pm - Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan moratorium atau pembekuan ke atas penawaran kursus baharu bidang perubatan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selama lima tahun sehingga 30 April 2016.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, moratorium itu dilaksanakan segera berdasarkan kepada peningkatan ketara bilangan graduan perubatan yang dikeluarkan IPT, kompetensi pegawai perubatan siswazah, tenaga pengajar dan Hospital Pengajar.

Beliau berkata, pelaksanaan moratorium ini tidak sama sekali menjejaskan bilangan pegawai perubatan yang diperlukan negara kerana pengeluaran graduan perubatan dari 33 IPT sedia ada di samping graduan perubatan luar negara yang pulang ke Malaysia adalah memadai.

"Malah ia diyakini mampu menghasilkan jumlah doktor perubatan yang mencukupi menjelang 2020 dengan nisbah seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk (1:400),” katanya. - Bernama

Pendidikan teknikal, vokasional dinaik taraf tarik pelajar terbaik

05/05/2011 2:05pm - Utusan Malaysia


PUTRAJAYA 5 Mei - Kerajaan berusaha menjadikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) sebagai pilihan utama pelajar-pelajar terbaik di negara ini seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, Jabatan Pembanguan Kemahiran akan memastikan kurikulum semua pusat latihan kemahiran memenuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan selaras dengan bidang ekonomi yang diberi keutamaan.

Sebagai langkah penyeragaman dan pengiktirafan persijilan TEVT, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan diguna pakai sebagai persijilan tunggal kebangsaan bagi TEVT.

"TEVT selepas ini diharapkan bukan lagi menjadi aliran pilihan kedua ataupun terakhir bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam pencapaian akademik sahaja tetapi akan menjadi aliran pilihan utama pelajar-pelajar terbaik di negara ini,” katanya ketika melancarkan Kempen Skills Malaysia 2011, anjuran Kementerian Sumber Manusia, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kaunselor di sekolah menengah akan diberi tanggungjawab untuk membimbing pelajar agar lebih ramai pelajar memilih aliran TEVT. - Bernama

Wujudkan slot bahasa Melayu di stesen TV Inggeris

KUALA LUMPUR 5 Mei - Stesen radio dan televisyen swasta berbahasa Inggeris digalakkan untuk mewujudkan satu slot program berbahasa Melayu sebagai usaha membudayakan Bahasa Melayu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, program berkenaan tidak semestinya bersiaran setiap hari memandangkan stesen radio dan televisyen swasta harus mengambil kira faktor kewangan dan penajaan iklan sebelum mewujudkan sesuatu program baru.

"Kami menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh mengajak tuan punya stesen dan kita akan kuat kuasa syarat ini bagi radio dan televisyen di mana ruang untuk mempromosikan bahasa Melayu harus wujud setiap minggu, misalnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pembudayaan Bahasa Melayu di Radio di sini hari ini. - Bernama

Utusan Malaysia - 5.5.11

13.4.11

Membaca atau menikmati karya sastera? - OLEH DR AMINUDIN MANSOR

SECARA umumnya, membaca dan menikmati hasil karya adalah berbeza. Membaca secara biasa ialah memerhati isi sesuatu yang tertulis memahamkan makna kandungannya. Sementara menikmati hasil karya ialah membaca secara memahamkan makna dengan penuh perasaan dan membuat kesimpulan tentang isi karya yang dibaca.

Lantaran itu, pembaca biasa hanya membaca karya sastera seperti cerpen, novel dan puisi secara sambil lalu dan sedikit tercuit perasaan seperti sedih, gembira dan sebagainya. Manakala membaca dengan menikmati hasil karya akan membaca berkali-kali dengan sepenuh jiwa, mempelajari dan meneladani apa yang tersurat dan tersirat dalam karya. Golongan kedua ini adalah pencinta sastera tulen.

Pandangan mengatakan membaca adalah seni, seperti halnya seni berfikir dan seni menulis. Seorang pembaca dan juga penikmat karya akan dapat merasakan seni sastera yang terpancar dalam sesebuah hasil karya. Membaca dengan berfikir menjadikan seseorang penikmat sastera yang tulen. Seperti kata Francis Bacon, membaca menjadikan seseorang berisi, berunding menjadikan dia siap, menulis menjadikan dia saksama.

Bahan karya sastera mencerminkan jiwa dan perasaan seseorang pengarang dalam apa juga keadaan. Karya sastera juga menjadi salah satu sumber rujukan penting bagi menyelami perasaan rakyat dalam sesebuah negara merdeka. Menghayati karya sastera adalah mendalami hati budi rakyat yang terpancar dalam karya tersebut.

Soalnya, adakah kita membaca atau membaca dengan menikmati karya sastera? Ramai dalam kalangan pelajar yang belajar di tingkatan satu hingga lima hanya membaca karya sastera secara biasa. Hanya sedikit yang membaca secara menikmati dengan mata hati dan akal budi karya sastera dalam Komponen Sastera (KOMSAS) yang diwajibkan kepada para pelajar.

Justeru, KOMSAS dalam pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai keterampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati hasil karya dengan sepenuhnya. Ia menjadi penyalur ilmu, penyebar fikiran dan gelojak perasaan sesuatu bangsa.

Bahan KOMSAS telah dijadikan sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi menambahkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu. Ia mencakupi pendedahan dan apresiasi karya-karya sastera daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, puisi moden, drama, cerpen dan novel.

Melalui pendedahan ini pelajar dapat mengenal dan menikmati karya sastera hasil tulisan penulis-penulis di negara ini. Selain itu, karya tersebut juga dapat menjadi saluran bagi pelajar memahami budaya, cita rasa, keindahan seni, kehidupan sosial masyarakat di negara ini. Usaha ini adalah pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Kehidupan

Penerapan elemen penting dalam karya akan menjadikan pelajar insan yang berfikir tentang kehidupan dan kebaikan. Seterusnya, karya sastera juga dapat membantu membentuk kehalusan budi pekerti, kecekapan berbahasa, ketabahan hati, keindahan seni, menegakkan kebenaran, menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan.

Karya sastera bukan hanya bahasa dan kata-kata, malah ia lebih daripada itu. Ia merangkumi budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat secara keseluruhannya. Apabila membaca seseorang akan menikmati bahasa dan kata-kata yang disampaikan dengan berkesan dengan penuh keindahan seni.

Memetik kata-kata Aristotle, dari satu segi, seni menyempurnakan apa yang tidak boleh dijelaskan oleh alam semesta, di segi yang lain ia meniru alam semesta. Jelaslah seni itu soal penggambaran dan peniruan. Dalam karya sastera terdapat seni meniru atau menggambarkan kehidupan manusia, terutamanya perbuatan manusia.

Oleh itu, peranan dan tugas guru bahasa Melayu sangat penting dalam pembacaan hasil karya yang bermanfaat. Melalui pembacaan ke arah menikmati hasil karya yang penuh seni akan dapat mewujudkan pelajar yang meminati karya sastera, memahami nilai keindahan dalam sastera dan mendalami tujuan penulis menghasilkan sesebuah karya sastera.

Menanamkan minat dalam jiwa pelajar sebagai pencinta sastera tulen juga menjadi tugas guru khususnya guru bahasa Melayu. Lapangan sastera Melayu amat luas yang harus diteroka oleh generasi muda. Teks sastera cukup banyak dipasarkan untuk dinikmati.

Seperti kata Matthew Arnold, "Sastera adalah cermin kehidupan". Oleh itu, melalui pembacaan yang teliti, penuh rasa di jiwa penikmat karya sastera dapat mencedok ciri-ciri kehidupan yang baik digambarkan dalam watak dan perwatakan, latar masyarakat yang digambarkan.

Justeru, pengarang berusaha merakamkan seluruh hasil kerjanya bagi dihargai untuk tatapan dan bacaan masyarakat umum. Dalam karya sastera akan terdapat kesan dan warna yang pelbagai untuk dinikmati oleh generasi muda. Daripadanya terpancar pengalaman, pemikiran dan sikap pengarang.

Melalui pembacaan yang teliti akan dapat melihat sikap dan pemikiran pengarang, memahami seni, memasuki akal budi, mengikut jalur rasa dan perasaan serta rasa keindahan yang terdapat dalam sesebuah hasil karya sastera. Di hutan keindahan sastera dan belantara bahasa menghidangkan pelbagai takrif dan istilah menjurus ke arah cara berfikir.

Hasil karya sastera seperti cerpen, novel, puisi dan drama bukanlah sebagai alat penghibur pada waktu lapang. Malah ia lebih daripada itu, pembacaan karya sastera sewajarnya sebagai bahan penggayaan batin, dapat menajam fikiran, pembentuk akal budi dan meluaskan pengalaman hidup kepada pembaca. Melalui pembacaan dengan menikmati karya sastera akan membuka satu pengalaman baru meluaskan rasa seni yang mendalam tentang kehidupan.

Utusan Malaysia - 13 April 2011

Memupuk rasa bangga julang bahasa Melayu - Oleh Teo Kok Seong

Program Pembudayaan Bahasa mampu memperkasa jati diri

PROGRAM Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, antaranya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Sesungguhnya ia boleh juga dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan kenegaraan yang lain.

Bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan. Antaranya bahasa boleh dijadikan wahana untuk mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Untuk tujuan kenegaraan, bahasa boleh digunakan menjadi lambang kepada jati diri nasional serta nasionaliti sesebuah negara, selain menjadi wahana menyatupadukan rakyat, khususnya yang berbilang kaum dalam sesebuah negara itu. Ia boleh juga digunakan untuk mengungkapkan etos kebangsaan dan membangkitkan semangat kebangsaan.

Sehubungan ini, bahasa yang digunakan untuk mendukung fungsi kenegaraan adalah bahasa yang dimiliki dan dikongsi bersama. Lazimnya hanya satu bahasa yang dikongsi bersama digunakan untuk tujuan kenegaraan. Ini adalah kerana gagasan pemilikan dan perkongsian hanya satu bahasa didapati amat berkesan, khususnya ketika melaksanakan fungsi penyatuan dan kemajuan nasional yang dilakukan secara sekali gus. Dua fungsi ini yang didapati saling melengkapi didukung oleh bahasa yang sama.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu mendukung dua fungsi. Pertama sebagai bahasa kebangsaan dan kedua sebagai bahasa rasmi. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah lambang jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia, selain penanda kesatuan rakyat. Selaku bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah alat untuk memajukan rakyat dan negara.

Walaupun Malaysia memilih dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, penggunaan bahasa etnik, misalnya Mandarin dan Tamil dibenarkan dalam sistem pendidikan nasional. Di mana-mana negara di seluruh dunia, pendidikan dijadikan dan memang pun menjadi alat penting untuk menyatupadukan rakyat, khususnya dalam membentuk jati diri nasional dan nasionaliti dalam kalangan rakyat, selain memajukan rakyat dan negara. Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.
Di Malaysia, kita mempercayai dan meyakini bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama, adalah kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan seterusnya memajukan rakyat dan negara. Sehubungan ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini bermakna dalam keseluruhan itu, semangat dan jati diri etnik Cina dan India itu yang dipupuk menerusi pendidikan vernakular dan pengamalan budaya dan warisan etnik, hendaklah diletakkan di bawah tempat bertakhtanya semangat kebangsaan dan jati diri nasional. Dengan perkataan lain, semangat kebangsaan dan jati diri nasional hendaklah dipastikan selalu berada dan diletakkan di atas semangat dan jati diri etnik.

Semangat kebangsaan dan jati diri nasional itu perlu berlandas simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah kerana ia dipersetujui dalam Perjanjian Etnik/Kontrak Sosial yang dimeterai ketika kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Antara simbol dan proses sosiobudaya Melayu itu ialah bahasa Melayu yang dipilih untuk menjadi bahasa negara ini.

Dalam konteks kenegaraan, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah maruah negara, antaranya jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Sehubungan ini, memalukan sekali sekiranya masih ada, walaupun seorang rakyat Malaysia tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan pasca merdeka.

Perkara sebegini pernah dilaporkan. Antaranya membabitkan seorang wanita Cina yang berusia 51 tahun tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini dan terus berbahasa Inggeris apabila memberi keterangan ketika membuat laporan mengenai tas tangannya diragut, di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

Tindakan wanita ini ditegur oleh pegawai polis Melayu yang mengambil keterangan dan tegurannya itu yang dianggap perkauman sehingga beberapa pihak mendesak agar tindakan tegas diambil terhadapnya. Desakan untuk menghukum ini menunjukkan ramai yang gagal melihat isu sebenarnya di sebalik teguran itu.

Teguran itu sebetulnya adalah manifestasi kekecewaan yang kemudian menjadi kemarahan orang Melayu selaku kaum dominan, terhadap sesetengah rakyat Malaysia yang masih tidak nasional pada diri mereka. Antaranya termasuk keengganan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, khususnya dalam urusan rasmi.

Sehubungan itu, jati diri nasional dan nasionaliti atau kerakyatan Malaysia bergantung sepenuhnya kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini. Bahasa negara sebetulnya adalah sebahagian yang amat penting dalam mana-mana nasionaliti di dunia ini.
Dalam kes kerakyatan negara Malaysia, bahasa Melayu adalah juga bahagian yang penting. Malah, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu diuji kepada mana-mana pihak yang memohon kerakyatan Malaysia pada masa dulu ketika kemerdekaan dan juga pada masa kini.

Komen balas daripada sesetengah rakyat Malaysia mengenai peristiwa ini, dalam bentuk surat pembaca di akhbar dan juga dalam media baharu, memperlihat bahawa jahilnya sebilangan rakyat Malaysia mengenai jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Ia mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kes ini.

Masanya sudah tiba untuk diperbetul kejahilan ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia boleh dan mesti dilakukan melalui Program Pembudayaan Bahasa ini untuk memupuk perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Minda Pengarang: Pelajar patut ambil iktibar kesan kes salah laku pada masa depan

KES salah laku termasuk pergaduhan hingga kepada pembabitan dalam kejadian jenayah membabitkan pelajar bukan perkara baru. Sudah banyak kes seumpama ini dilaporkan menerusi media. Tidak kurang juga pelajar yang didapati bersalah dan menerima hukuman sebagai pesalah juvana. Khamis lalu media memaparkan satu lagi kes salah laku membabitkan pelajar berusia 14 tahun. Dalam kejadian itu, seorang guru wanita retak tulang hidung akibat ditumbuk pelajar Tingkatan Dua, di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, Bukit Keteri, Kangar. Kejadian itu berlaku selepas guru itu menegur pelajar berkenaan yang bergaduh di pekarangan sekolah. Apabila berlaku kes sebegini, kita tertanya-tanya apakah punca sebenar sehingga menyebabkan seorang pelajar tergamak mencederakan gurunya sendiri di kawasan sekolah. Walaupun isu pelajar bertindak kasar terhadap guru di negara ini tidak seteruk seperti kejadian di sesetengah negara lain, namun kita tidak boleh membiarkannya terus berlaku sehingga keadaan menjadi tidak terkawal. Justeru, adalah wajar semua pihak memberi perhatian serius perkembangan tidak sihat ini dan mencari jalan menanganinya secara berkesan.

Agak sukar mencari jawapan berhubung tindakan pelajar berkenaan yang berani mencederakan gurunya di depan kelas dengan disaksikan pelajar lain. Apa silapnya dengan pelajar terbabit sehingga tidak takut dan hilang hormat kepada guru berkenaan? Apakah ibu bapa patut dipersalahkan kerana sikap biadap dan keterlaluan anak mereka itu atau apakah mungkin ia disebabkan pengaruh anasir luar. Kita tidak boleh menafikan tempat terbaik membentuk disiplin anak ialah di rumah, apatah lagi ia sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa serta keluarga. Alam persekolahan serta guru hanyalah sebagai pelengkap untuk membimbing pelajar supaya menjadi manusia berguna, khususnya dalam menjadikan mereka sebagai insan berakhlak mulia dan berilmu. Adalah tidak wajar guru dipersalahkan berhubung salah laku pelajar kerana mereka sudah berusaha sedaya upaya mendisiplinkan pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil iktibar kes salah laku kerana jika kesalahan dilakukan itu serius dan didapati bersalah, ia pastinya membantut pembelajaran dan masa depan mereka. Itulah yang bakal dihadapi pelajar Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, apabila mengaku salah di Mahkamah Majistret kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan guru disiplinnya.

Pelajar itu dikesan melakukan dua kesalahan besar di sekolah berkenaan. Selain menumbuk guru, pelajar berkenaan sebelum itu terbabit dalam pergaduhan. Akibat tidak dapat menerima teguran guru terbabit, pelajar terbabit menumbuknya. Dari segi peruntukan peraturan sekolah, guru disiplin dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah melanggar peraturan dan disiplin sekolah. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mempunyai peraturan yang mesti dipatuhi setiap pelajar. Apapun masalah yang timbul membabitkan pelajar dan guru tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan pembelajaran. Dalam menghadapi isu ini, ibu bapa harus bersikap rasional dan tidak membuta-tuli menyebelahi anak. Mereka mesti selidik dulu siapa yang benar dan salah serta mengutamakan perundingan bagi menyelesaikan setiap masalah. Oleh kerana kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan hukumannya akan diputuskan 4 Mei ini, adalah wajar mana-mana pihak melihat keputusan mahkamah itu sebagai peringatan kepada pelajar supaya tahu menghormati dan menghargai guru.

Berita Harian

9.4.11

Sabar, reda berdepan musibah serlah keperibadian Muslim

MENJADI hakikat tiada sesiapapun di dunia ini suka berhadapan dengan musibah. Sebagai manusia beriman, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan perlu menganggapnya sebagai ujian.

Ujian diberikan Allah SWT ini datang dalam pelbagai cara. Misalnya, kejadian tsunami di Jepun, gempa bumi di New Zealand, peperangan di negara Arab dan juga banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Musibah kehilangan ahli keluarga tersayang, kemusnahan harta benda, kemiskinan berpanjangan, menghidap penyakit kronik, kemalangan, kerugian dalam perniagaan dan sebagainya adalah cukup pedih untuk dihadapi. Jika hati seseorang itu goyah dan tidak rasional, musibah ini tidak akan dianggap sebagai cubaan dan petunjuk yang dianugerahkan Allah SWT sebagai sumber meneguhkan keimanan dan kekuatan diri.

Kehidupan pada masa sukar sebegini dianggap tidak bermakna. Jiwa tidak tenteram dan perasaan menjadi kusut apabila kesenangan dan kebahagiaan yang dinikmati sebelum ini hilang sekelip mata.

Ada antara kita menganggap Tuhan tidak adil kerana menurunkan musibah demi musibah, umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Hasutan syaitan akan menyemarakkan lagi rasa putus asa, sedih dan marah.

Sebenarnya jika sifat sabar dipupuk sebaiknya dalam diri, seseorang itu akan terus diberi petunjuk oleh Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan di dunia yang fana ini.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah beroleh petunjuk, dan sesiapa disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi (Surah al-A’raf ayat 178).

Bagi orang bersabar, dia akan reda dan tabah menerima segala ketentuan Allah SWT. Bahkan sifat tawakal atau berserah dan bersyukur akan tumbuh subur di dalam sanubari di samping percaya sesuatu yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

Insan seperti ini sedar Allah SWT menunjukkan contoh kesabaran rasul bergelar ‘ulul azmi’ yang menerima pelbagai cabaran hebat dalam menyebarkan dakwah Islamiah pada zaman mereka.

Sifat sabar dapat membentuk keperibadian seseorang supaya sentiasa tenang. Ketenangan ini akan memandu dirinya bermuhasabah diri apakah ada salah dan silap yang pernah dilakukan dan bagaimana untuk memperbaikinya.

Orang yang sabar dan tabah menghadapi ketentuan Tuhan dari perspektif adalah orang yang terpelihara kehidupannya di dunia dan di akhirat dan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Ini selaras dengan firman Allah SWT bermaksud: “...sesungguhnya orang yang sabar saja akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar, ayat 10).

Sebagai masyarakat prihatin terhadap satu sama lain, adalah wajar kita membantu orang yang dilanda kesusahan. Bukannya menjauhkan diri daripada mereka ini yang masih tercari-cari pedoman menghadapi saat sukar dalam hidup.

Sokongan masyarakat dari segi psikologi dan fisiologi sangat terkesan dalam membentuk sifat kesabaran dan ketakwaan dalam diri mereka yang dilanda musibah.

Semoga orang yang sentiasa bersabar menghadapi ujian akan dikuatkan keimanannya dan diberikan ganjaran sebaiknya seperti firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaran serta kuatkan pertahanan dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu beroleh kejayaan.” (Surah ali-Imran ayat 200).

Penulis berkhidmat di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berita Harian

UM perlekeh bahasa Melayu

ISU Naib Canselor Universiti Malaya (UM) mengagung-agungkan bahasa Inggeris hangat diperkatakan mutakhir ini.

Kemuncaknya pada 14 Februari lalu apabila beliau menegaskan apabila pelajar membuka mulut, tiada bahasa lain yang harus keluar kecuali bahasa Inggeris di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

Memorandum bantahan pelajar Akademi Pengajian Melayu sudah diserahkan kepada Naib Canselor pada 24 Februari lalu. Hingga hari ini gesaan supaya Naib Canselor memohon maaf dan menyatakan pendirian sebenar terhadap bahasa Melayu tidak mendapat maklum balas sewajarnya. Anggapan Naib Canselor amat mudah seperti budak sekolah kerana langsung tidak bercirikan ilmiah. Bercakaplah bahasa Inggeris setiap masa untuk mudah dapat pekerjaan seterusnya meningkatkan ranking UM pada peringkat dunia.

Sudahlah dangkal pemikirannya sekali gus memperlekehkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mangsa ‘kambing hitam’ baginya ialah pelajar Akademi Pengajian Melayu (APM) dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) yang dilabel sebagai lemah bahasa Inggeris.

Paling mengecewakan pelajar adalah caranya yang tidak profesional.
Memburukkan fakulti tertentu di hadapan pelajar fakulti lain dengan pertanyaan “Which one is the worst?” Sebagai bukti, apabila pembaca menaip Raising UM into the rank of top 100 Universities (Faculty of Science part 3) dalam laman video YouTube, dapat dilihat bagaimana pada minit 4.44 hingga 6.48, Naib Canselor UM merendah-rendahkan APM dan FSSS di khalayak pelajar Fakulti Sains.

Hal sama juga dibuatnya sehari sebelum itu di depan pelajar Fakulti Alam Bina iaitu pada 9 Februari lalu.

Persoalannya, jika benar masalah ramai pelajar menganggur datang daripada bidang berteraskan sastera, sains sosial dan kemanusiaan, mengapa dia hanya bercerita berdegar-degar hal itu di depan pelajar bidang lain pula?

Ibarat tidak puas hati dengan kucing membuang najis di halaman rumah, tetapi ayam pula yang dihambat! Adilkah begitu? Mana maruah kami? Kami juga membayar yuran pengajian dan modal insan penting untuk kemajuan negara.

Malaysia tidak akan maju dalam erti kata sebenar jika hanya bidang sains dan teknologi dimanjakan, tetapi bidang kami dianaktirikan.

Mohon Kementerian Pengajian Tinggi mengambil perhatian hal ini. Selain itu, tindakannya yang hanya memanggil pelajar Melayu daripada Pusat Sukan, Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pendidikan di depan Dewan Tunku Canselor (DTC) ketika ucapannya pada 14 Februari lalu seperti ada agenda mahu memalukan bangsa Melayu di depan pelajar bukan Melayu serta pelajar asing.

SISWA KECEWA,
Universiti Malaya.

Berita harian

Sayang anak, cikgu jadi mangsa

TERDETIK di hati saya untuk menyuarakan pendapat mengenai keganasan pelajar sekolah di negara kita pada masa sekarang. Terlalu banyak yang berlaku hingga ada kala membimbangkan kerana isteri saya juga seorang guru.

Tindakan pelajar menumbuk sehingga mencederakan guru, menyerang rakan sekolah lain seperti samseng, bergaduh di dalam kelas dan banyak lagi perkara yang kita tidak sanggup dengar kini semakin menjadi-jadi.

Pada zaman saya bersekolah dulu, tidak pernah kedengaran masalah disiplin melampau seperti ini. Kita juga nakal, tetapi masih menghormati dan takut kepada guru. Kita ditampar, didenda dan pelbagai hukuman diterima tanpa ada bantahan atau perasaan dendam terhadap guru. Jika mengadu kepada ibu bapa, mereka pula yang meminta supaya hukuman itu ditambah.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan guru disiplin adalah individu paling ditakuti. Terdengar saja bunyi tapak kaki terus bertempiaran masuk ke dalam kelas. Guru pada zaman lalu diberikan kebenaran untuk menjalankan hukuman tanpa mencederakan murid, bergantung pada budi bicara guru itu sendiri, tidak tertakluk kepada guru disiplin, Penolong Kanan HEM, pengetua atau pun guru besar.

Tetapi kini, hendak dijentik sekalipun tidak dibenarkan. Bagaimana pula jika guru berkenaan diserang? Adakah mereka berhak untuk mempertahankan diri? Ibu bapa pada masa kini lebih banyak membela anak mereka dengan membuta tuli, termasuk suka mengugut guru dengan tindakan undang-undang. Adakah mereka prihatin berkenaan dengan disiplin anak mereka? Akibat terlalu sayangkan anak, guru dijadikan mangsa.

Dalam Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan baru-baru ini, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan hanya lebih ditekankan kepada pengurangan tahap buta huruf pelajar. Kenapa tidak diwujudkan sekali NKRA Pendidikan itu mengenai masalah disiplin pelajar?
Saya memohon supaya perkara ini diatasi segera kerana mereka ini generasi kita pada masa hadapan. Jika tidak ditangani sekarang, bayangkan apa lagi masalah yang mungkin timbul 10 atau 20 tahun lagi.

Rasanya tidak sanggup saya menempuh masa berkenaan. Saya berharap apa yang suarakan ini diberikan perhatian secara serius demi keselamatan guru dan masa depan anak kita.

MUHD HABANI HELMI,
Kuala Lumpur.

Minda Pengarang: Kementerian perlu tangani lebihan guru elak pembaziran tenaga pengajar berulang

ADUAN mengenai kekurangan guru di sekolah bukan suatu yang asing. Apabila masalah itu timbul, ia bukan saja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah turut membebankan guru lain. Suatu ketika dulu, kekurangan guru sering ditimbulkan terutama membabitkan subjek kritikal, khususnya Sains dan Matematik. Bagi mengatasi masalah itu, pelbagai langkah dan pendekatan diambil Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Antara usaha dilakukan ialah menambah pengambilan guru pelatih membabitkan dua bidang berkenaan. Akhirnya, kekurangan guru dua subjek berkenaan dapat diatasi sepenuhnya.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila akhbar ini kelmarin melaporkan terdapat pula lebihan kira-kira 26,000 guru di seluruh negara, terutama yang mengajar dua subjek berkenaan. Bilangan yang ramai itu masing-masing membabitkan 14,000 guru Sains dan 12,000 lagi guru Matematik. Keadaan itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan pembaziran tenaga kerana kepakaran guru terbabit tidak dimanfaatkan secara optimum. Selepas guru berkenaan mendapat latihan khusus bagi mengajar subjek berkenaan, malangnya kemahiran mereka tidak digunakan sepenuhnya bagi mengajar dua mata pelajaran yang dianggap penting itu.

Disebabkan guru subjek berkenaan berlebihan, ada antara mereka terpaksa mengajar subjek lain yang tiada kena-mengena dengan opsyen mereka ketika menjalani latihan. Guru yang memiliki kepakaran mengajar subjek Fizik, Kimia dan Biologi diarah mengajar subjek lain seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris, sudah tentu menimbulkan masalah dari segi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Keadaan itu juga pastinya mengecewakan ibu bapa yang mengharapkan anak mereka diajar oleh guru yang mahir dan pakar dalam subjek tertentu. Kita percaya, tentunya ada guru yang kecewa dan hilang semangat kerana terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi kepakaran mereka. Jika dipaksa mengajar bidang yang tidak diminati, ia bukan saja boleh menghilangkan semangat guru terbabit, malah prestasi pelajar juga akan turut terjejas. Penjelasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa lebihan guru terbabit bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar kedudukan masalah itu. Lebihan guru itu berlaku sebenarnya disebabkan penempatan untuk mengajar belum dibuat. Graduan bagi opsyen Sains dan Matematik itu belum ditawarkan penempatan berikutan lebihan penawaran guru subjek terbabit di seluruh negara. Justeru, kita harap Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang diwujudkan dapat mencari penyelesaian bagi menangani masalah itu.

Kedua-dua kementerian perlu membuat unjuran yang lebih tepat bagi memenuhi permintaan guru opsyen berkenaan di semua sekolah. Jika unjuran semasa bagi memenuhi kuota pengambilan guru opsyen berkenaan hanya 50 orang, adalah tidak wajar pengambilan guru pelatih dibuat melebihi daripada unjuran berkenaan. Sewajarnya guru pelatih itu ditawarkan opsyen lain yang dikenal pasti berlaku kekurangan, sebelum mereka diterima masuk menjalani latihan. Kita berharap jawatankuasa bersama antara dua kementerian terbabit dapat mencari kaedah dan penyelesaian terbaik agar masalah lebihan guru tidak berulang pada masa depan.

27.1.11

Novel bangunkan sahsiah insan

Secara realitinya novel, iaitu cerita dalam bentuk prosa yang mengandungi jalan cerita, biasanya panjang dan kompleks yang berkaitan dengan pengalaman manusia dan kelakuan sosial yang dipilih menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di peringkat sekolah menengah mampu membangun insan.

Itulah peranan sastera yang harus difahami oleh setiap ahli masyarakat disebabkan dapat mengangkat peradaban dan tamadun sesuatu bangsa ke arah kecemerlangan pada masa depan. Tanpa sastera dan karya sastera yang baik seperti novel, cerpen, drama, sajak dan karya yang lain jiwa manusia akan kosong dan tak bermaya.

Justeru, sastera tidak boleh dipolitikkan untuk mencari kepentingan sesuatu pihak. Unsur-unsur politik boleh dimuatkan dalam karya sastera bagi menyedarkan masyarakat tentang kehidupan masa depan dan sejarah masa lalu yang seharusnya dijadikan pedoman dalam kehidupan.

Melalui Komponen Sastera (Komsas) yang diajar dalam Bahasa Malaysia khususnya di Tingkatan Lima para pelajar sudah matang dan dapat menilai tentang peranan sastera khususnya novel dalam mendidik akal budi generasi muda. Oleh itu, novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain tidak harus dipertikaikan jika dinilai dari sudut sastera untuk P&P di sekolah. Pembacaan teliti dan mendalam terhadap Interlok akan membawa pembaca ke arah penyatuan dan perpaduan kaum seperti yang disarankan oleh penulisnya.

Jika sebelum ini, novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain dijadikan teks tanpa prejudis ke arah membina bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan nilai kerohanian yang positif , serta menghayati perasaan bangga dengan bakat dan nilai seni seperti yang terdapat pada watak Hilmi yang cintakan negara melalui konsert terakhirnya.

Jelaslah, sastera melalui penggunaan bahasa yang digunakan dalam hasil seni yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan menarik hati pembaca. Melalui pembacaan dan pemahaman ia dapat mendidik, membimbing dan mengajar manusia menjadi insan berguna. Melalui pendidikan berterusan novel mampu membangun modal insan yang cemerlang.

Memetik pendapat pengkaji novel, Dr Misran Rokimin, novel yang baik dapat membangun modal insan. Karya sastera sama ada untuk kanak-kanak, remaja atau dewasa mempunyai matlamat untuk mendidik dan membangunkan diri manusia sama ada personalitinya, pemikiran dan kebahasaannya. Pembangunan dan pemodenan yang hendak dicapai seharusnya tidak meminggirkan nilai moral ke atas manusia penghuni dunia ini.

Pelaksanaan Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia sangat sesuai dan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mengandungi beberapa tujuan, antaranya meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. Melahirkan para penulis yang kreatif dan kritis, meningkatkan kekuatan rohani, intelek, emosi dan jasmani dan dapat mengimbangi nilai ekonomi dan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.

Pendidikan

Karya-karya yang terdapat dalam teks Komsas sebenarnya telah dipilih dengan teliti supaya dapat memenuhi matlamat pendidikan Kesusasteraan Melayu iaitu membolehkan pelajar menjiwai, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni dan memanfaatkan nilai kerohanian, kemasyarakatan, kebudayaan, dan kewarganegaraan serta cintakan negara.

Selain itu, membolehkan para pelajar menguruskan emosi sendiri, mengehadkan perkembangan emosi negatif dalam mengendalikan hubungan dengan orang lain. Menganggap pelajaran kesusasteraan penting bagi pembangunan diri, akal fikiran dan sahsiah bagi menghadapi cabaran masa depan.

Teks Komsas yang terdiri daripada teks puisi, cerpen, drama dan novel diajar dalam P&P Bahasa Malaysia di sekolah menengah di negara ini sebenarnya telah membantu membangun jiwa, akal budi, dan sahsiah diri para remaja melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.

Melalui Komsas juga menuntut pengisian jiwa generasi muda dengan segala unsur dan nilai murni yang baik, termasuk karya sastera yang berfungsi mendidik ke arah menghaluskan budi dan nilai kemanusiaan kepada setiap manusia.

Selain itu, teks sastera juga dapat membangun potensi diri pelajar melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara ke arah menjadikan negara maju berpendapatan tinggi.

Usaha ini juga menjadikan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang akan dapat dilaksanakan melalui pendidikan kesusasteraan khasnya daripada teks Komsas yang telah dipilih.

Para guru haruslah bijaksana dalam P&P di dalam kelas dengan menilai sesebuah karya dengan kritis dan kreatif dan memberikan panduan, pendidikan dan pengajaran apabila sesebuah hasil karya sastera diajarkan kepada pelajar.

Rujuk:[Utusan-27/1/11]

Godam: Jujurkah perjuangan atau muslihat peribadi?

PENENTANGAN terhadap Interlok karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain, masih tidak berkesudahan meskipun sudah masuk hari ke-40 dan percubaan untuk memastikan berlakunya situasi di luar kawalan terus dirancang dan diapi-apikan, tetapi setakat ini dapat dipatahkan oleh pihak berkuasa.

Pada 21 Januari lalu dilaporkan pasukan polis berjaya membendung percubaan sembilan orang yang cuba melakukan tunjuk perasaan dan membakar novel yang menjadi teks Komponan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) pelajar Tingkatan Lima di Batu Caves.

Pada 22 Januari pula dilaporkan sembilan ditahan pihak berkuasa kerana cuba mengadakan demonstrasi haram di Taman Desa Puri, Butterworth dan merancang untuk membakar Interlok dan gambar Abdullah, seperti dilakukan 100 penduduk kaum India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang, pada 8 Januari lalu. Penentang Interlok bermati-matian mengatakan tiada lagi amalan kasta di Malaysia dan ingin melupakannya, tetapi sebenarnya ia suatu lagi dusta kerana perkara terbabit pernah dilalui Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ambigaphaty Pandian.

“Beliau pernah dihidangkan dengan nasi dalam daun pisang ketika menghadiri suatu majlis sedangkan tetamu lain menjamu selera dalam pinggan kerana tuan rumah menyangka beliau dari kasta p..... Prof Ambigapathy berasa begitu dihina dan diaibkan pada majlis terbabit.” demikian seperti dikisahkan seorang teman kepada penulis.

Penulis yakin kontroversi Interlok bukan saja bersalut motif politik demi kepentingan individu tertentu yang berasa perlu mendapat sokongan massa kaumnya bagi memastikan kerjaya sebagai ahli politik dapat diteruskan untuk penggal berikut dan keadaan diburukkan oleh individu bergelar pengarang kreatif yang melihat hanya bangsanya sempurna!

Ramai yakin individu yang berkarya kreatif dalam bahasa Melayu dan diberi pelbagai peluang sehingga meraih beberapa hadiah utama sastera, menjadi punca kepada segala masalah dengan terus menghasut serta mengapi-apikan, agar Interlok terus digugurkan daripada menjadi teks KOMSAS.
Amat mengaibkan apabila penulis baru setahun jagung yang berkarya dalam bahasa Melayu dan karyanya sentiasa berlegar mengenai kaumnya termasuk perkara berhubung kasta, agama dan budayanya, membelasah interlok sebagai karya penuh kesilapan dan perlu dibetulkan serta diperhalusi untuk pembaca muda.

Hakikat pengarang itu mengangkat bangsa, budaya dan agamanya sehingga boleh dirumuskan sebagai taktik ‘berdakwah’ kepada pembacanya tidak pernah dipersoalkan kerana bangsa Melayu bersikap terbuka, meskipun sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara bahawa penganut lain dilarang berbuat demikian kepada penganut Islam.

Dakwaan bahawa Abdullah merincikan agama Islam dalam Interlok dengan indah adalah suatu pembohongan oleh pengarang ini dan taktik licik untuk menutup agenda peribadinya dalam membidas Abdullah yang sudah berkarya selama 72 tahun iaitu sejak 1939.

Sesungguhnya Interlok yang mengambil latar sejarah dan sosio-ekonomi negara dari 1910, zaman penjajahan British dan Jepun, darurat serta percubaan komunis menyusup pemikiran rakyat di Tanah Melayu sehingga menjelang kemerdekaan negara pada 1957, bukan karya jelek seperti cuba digembar-gemburkan.

Interlok adalah sebuah karya sarat dengan perpaduan tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India serta sememangnya memenuhi aspirasi gagasan 1Malaysia janaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta boleh dirumuskan bahawa Abdullah mendahului zaman berhubung perkara terbabit.

Penentangan terhadap Interlok dengan melabelkannya sebagai negatif turut memaparkan iri hati individu tertentu yang mengapi-apikan keadaan kerana novel itu adalah karya kedua Abdullah yang dijadikan teks, selepas Konserto Terakhir diangkat sebagai karya wajib KOMSAS wilayah tengah bermula 2000 sehingga 2010.

Agaknya kelompok yang dimaksudkan itu sudah berkira-kira honororium yang diperoleh Abdullah iaitu melebihi RM80,000 pada tahun pertama ia menjadi teks dan habuan sedemikian sememangnya diharapkan semua pengarang kreatif negara kerana ia rezeki terpijak, ekoran tidak banyak novel berpeluang masuk dalam senarai laris di pasaran!

Cukup-cukuplah bertegang urat untuk menegakkan benang yang basah atas perkara remeh ini kerana istilah yang dikatakan sensitif itu disebut pengarang Interlok secara sepintas lalu dan sememangnya tercipta di negara leluhur kaum India, di samping pengarang Interlok tidak menulisnya dengan matlamat memberi konotasi negatif!

Bacalah Interlok dari awal sehingga akhir dengan hati yang terbuka dan usahlah membuat andaian pelajar tidak bijak menilai, apalagi mereka yang datang dari wilayah tengah iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya kerana teknologi hari ini memungkinkan mereka ‘meneroka’ segala-galanya tanpa batasan.

Mengapa mesti menafikan keupayaan pelajar apalagi mereka yang terbiasa terdedah dengan pelbagai perkara dan pergaulan pelbagai bangsa kerana hakikatnya kelompok ini amat tipis sentimen perkauman berbanding yang berlegar dalam kelompok sendiri!

Terimalah cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, atas tolak ansur yang dicadangkan kerana sebagai pengarang tentu kita sendiri tidak mahu karya kita dicantas, diubah apalagi diputar belitkan kerana tindakan itu sama seperti memperkosa teks dan tidak menghormati kebebasan pengarang.

Kalau tidak kerana kehebatan karya dan sumbangannya kepada dunia sastera tanah air, sudah pasti Abdullah tidak akan dinobatkan sebagai SN dan relakan pengarang itu hidup menghabiskan usia senjanya dengan tenang serta terimalah hakikat setiap daripada rakyat Malaysia mempunyai sejarah susur galur keturunan mereka.

Rujuk - [B.Harian-27/1/11]

Nilai semula tugas pengetua

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat isu utama diberi tumpuan bagi mem-bolehkan pengetua di rantau Asia Tenggara menikmati keseimbangan dalam memenuhi tuntutan persekitaran sekolah yang sentiasa berubah dan kehendak ibu bapa serta masyarakat yang semakin mendesak.

Empat faktor dikenal pasti ialah:

- Sama ada jurang di antara sekolah berprestasi tinggi dan rendah boleh dikecilkan menerusi perkongsian amalan baik di kalangan pengetua;

- Sama ada pengetua boleh memanfaatkan teknologi bagi menghubungkan pelbagai disiplin kepakaran, mengekalkan sekolah sebagai pusat pembelajaran dan memperkenalkan inovasi yang berbentuk mendidik;

- Keperluan sistem sokongan dipenuhi bagi membolehkan pengetua meningkatkan pencapaian dari aspek pembangunan peribadi dan profesional untuk menjadi pemimpin;

- Peluang dan autonomi bagi pengetua menjalin rangkaian sesama mereka ke arah meningkatkan kaedah pembelajaran pelajar.

Permasalahan itu perlu diatasi segera jika penggerak sektor pendidikan khususnya pengetua nekad ke arah melahirkan modal insan terbaik sebagai pelaburan masa depan.

“Di Malaysia, kita ada Program Penambaikan Sekolah (SIP) di mana pengetua mesti mengenal pasti keperluan untuk meningkatkan prestasi pelajar, manakala Kementerian Pelajaran memberi sokongan supaya sasaran piawaian dipenuhi.

“Kita berpuas hati dengan pencapaian memberangsangkan SIP dan sejak dilancarkan tahun lalu, kira-kira 40 peratus sekolah mencatat peningkatan dari segi prestasi pelajar," katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat Pegawai Pendidikan ASEAN kelima dan Forum Pengetua Sekolah Asia Tenggara ketiga bertemakan `Perkongsian dan Mengguna Pakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara Ke Arah Pembangunan Modal Insan dan Inovasi Pendidikan Abad ke-21' di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, pengetua tidak boleh bergerak bersendirian kerana sekolah adalah sebahagian daripada agenda pendidikan yang membabitkan jaringan rangkaian luas serta memerlukan penyertaan pelbagai pihak.

Ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), katanya, membawa banyak cabaran baru bagi pengetua, termasuk mencari keseimbangan dari segi capaian ke dunia luar tanpa menjejaskan nilai moral dan memastikan guru berada di landasan sama dengan pelajar dari segi kecekapan teknologi.

"Sudah tiba masanya kita menilai semula fungsi pengetua dalam mengurus sekolah sebagai institusi pengajian kerana ia tidak lagi terhad kepada pelaksana atau pembuat keputusan,” katanya.

Sebagai pelaksana dasar, Muhyiddin berkata, pengetua perlu menyelesaikan masalah di setiap peringkat menggunakan perubahan sistematik, selain mencari pendekatan berkesan menerusi rundingan.

Beliau berkata, pengajaran penting diperoleh hasil transformasi pendidikan di Malaysia ialah pentingnya kerjasama antara pengetua sebagai pelaksana dasar dengan pegawai pelajaran selaku pembuat dasar.

Rujuk [B.Harian-27/1/11]