4.1.10

Guru perlu kreatif mengajar

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak meminta warga pendidik lebih kreatif dan inovatif sekali gus berupaya memberi dimensi baru kepada proses pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar.

Perdana Menteri berkata, ia bukan saja mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang menarik tetapi juga mampu melahirkan pelajar cemerlang dan kreatif.

“Kita perlu lihat proses berkenaan memerlukan unsur kreativiti dan inovasi sebagai dimensi baru dalam proses pendidikan kita.

“Saya percaya perubahan ini akan menjadikan sistem pembelajaran lebih menarik dan pelajar akan lebih dinamik serta segar,” katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan wang tunai sumbangan Yayasan Rahah kepada 371 pelajar dalam kawasan Parlimen itu yang memperoleh 5A dalam UPSR.

Najib berkata, golongan pendidik juga perlu menggunakan pelbagai medium termasuk internet untuk mencapai tahap kecemerlangan lebih tinggi.

Beliau berkata, ia bagi memudahkan mereka untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai maklumat dan perkembangan semasa sekali gus menggalakkan proses interaksi dan pembelajaran yang lebih dinamik.

Katanya, generasi kini lebih terbuka mindanya dan mudah mendapat maklumat menerusi internet.

“Justeru, jika guru tidak mengajar dan menyediakan kurikulum tanpa ada unsur kreatif dan inovatif, anak kita lebih mudah bosan terutama yang celik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),” katanya.

Rujuk [B.Harian-4/1/10]

No comments: