16.11.10

Wajib bayar balik hutang PTPTN selepas enam bulan tamat pengajian

Penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) yang membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajib memulakan pembayaran hutang tersebut selepas enam bulan mereka menamatkan pengajian.

Pegawai Perhubungan Awam PTPTN, Rina Rahman berkata, jika mereka tidak mampu membuat bayaran mengikut jadual yang ditetapkan, rayuan penangguhan hendaklah dikemukakan kepada PTPTN.

Menurutnya, jika peminjam gagal berbuat demikian, PTPTN akan menghantar notis peringatan pertama disusuli yang kedua selepas sebulan notis peringatan pertama dikeluarkan.

''Penghantaran notis peringatan ketiga dilakukan selepas enam hingga 12 bulan notis peringatan kedua dikeluarkan. Seterusnya, panel peguam PTPTN akan menghantar notis tuntutan (LOD) dalam tempoh dua bulan selepas notis peringatan ketiga.

''Tindakan saman dalam tempoh tiga hingga 12 bulan selepas LOD dan penghakiman oleh mahkamah iaitu kos pentadbiran atas amaun tuntutan kebiasaannya ditetapkan oleh mahkamah tidak melebihi lapan peratus setahun,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan seorang pembaca dalam ruangan Forum akhbar ini pada 12 November lalu bahawa isterinya yang menerima pinjaman PTPTN sebanyak RM21,000 disenaraihitamkan kerana tidak membayar pinjaman sejak tamat pengajian pada 2005.

Tambah Rina, oleh kerana maklumat yang kurang lengkap berkaitan kes itu, PTPTN mengandaikan kesemua proses penguatkuasaan telah diuruskan dan isteri pengadu telah dikenakan kos pentadbiran lapan peratus setahun.

''Mengikut prosedur tahun lepas, mereka yang terlibat dikehendaki membayar keseluruhan amaun tunggakan dengan kos pentadbiran sebanyak lapan peratus setahun,'' jelasnya.

Bagaimanapun menurutnya, mulai tahun ini PTPTN bersedia mengadakan rundingan bagi kes-kes seumpama itu dan peminjam yang mempunyai masalah dinasihatkan berkunjung ke pejabat PTPTN bagi mengadakan rundingan lanjut mengenai kaedah bayaran balik yang bersesuaian.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian 03-20982317/2318 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Rujuk [U.Malaysia-16/11/2010]

No comments: