27.1.11

Godam: Jujurkah perjuangan atau muslihat peribadi?

PENENTANGAN terhadap Interlok karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain, masih tidak berkesudahan meskipun sudah masuk hari ke-40 dan percubaan untuk memastikan berlakunya situasi di luar kawalan terus dirancang dan diapi-apikan, tetapi setakat ini dapat dipatahkan oleh pihak berkuasa.

Pada 21 Januari lalu dilaporkan pasukan polis berjaya membendung percubaan sembilan orang yang cuba melakukan tunjuk perasaan dan membakar novel yang menjadi teks Komponan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) pelajar Tingkatan Lima di Batu Caves.

Pada 22 Januari pula dilaporkan sembilan ditahan pihak berkuasa kerana cuba mengadakan demonstrasi haram di Taman Desa Puri, Butterworth dan merancang untuk membakar Interlok dan gambar Abdullah, seperti dilakukan 100 penduduk kaum India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang, pada 8 Januari lalu. Penentang Interlok bermati-matian mengatakan tiada lagi amalan kasta di Malaysia dan ingin melupakannya, tetapi sebenarnya ia suatu lagi dusta kerana perkara terbabit pernah dilalui Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ambigaphaty Pandian.

“Beliau pernah dihidangkan dengan nasi dalam daun pisang ketika menghadiri suatu majlis sedangkan tetamu lain menjamu selera dalam pinggan kerana tuan rumah menyangka beliau dari kasta p..... Prof Ambigapathy berasa begitu dihina dan diaibkan pada majlis terbabit.” demikian seperti dikisahkan seorang teman kepada penulis.

Penulis yakin kontroversi Interlok bukan saja bersalut motif politik demi kepentingan individu tertentu yang berasa perlu mendapat sokongan massa kaumnya bagi memastikan kerjaya sebagai ahli politik dapat diteruskan untuk penggal berikut dan keadaan diburukkan oleh individu bergelar pengarang kreatif yang melihat hanya bangsanya sempurna!

Ramai yakin individu yang berkarya kreatif dalam bahasa Melayu dan diberi pelbagai peluang sehingga meraih beberapa hadiah utama sastera, menjadi punca kepada segala masalah dengan terus menghasut serta mengapi-apikan, agar Interlok terus digugurkan daripada menjadi teks KOMSAS.
Amat mengaibkan apabila penulis baru setahun jagung yang berkarya dalam bahasa Melayu dan karyanya sentiasa berlegar mengenai kaumnya termasuk perkara berhubung kasta, agama dan budayanya, membelasah interlok sebagai karya penuh kesilapan dan perlu dibetulkan serta diperhalusi untuk pembaca muda.

Hakikat pengarang itu mengangkat bangsa, budaya dan agamanya sehingga boleh dirumuskan sebagai taktik ‘berdakwah’ kepada pembacanya tidak pernah dipersoalkan kerana bangsa Melayu bersikap terbuka, meskipun sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara bahawa penganut lain dilarang berbuat demikian kepada penganut Islam.

Dakwaan bahawa Abdullah merincikan agama Islam dalam Interlok dengan indah adalah suatu pembohongan oleh pengarang ini dan taktik licik untuk menutup agenda peribadinya dalam membidas Abdullah yang sudah berkarya selama 72 tahun iaitu sejak 1939.

Sesungguhnya Interlok yang mengambil latar sejarah dan sosio-ekonomi negara dari 1910, zaman penjajahan British dan Jepun, darurat serta percubaan komunis menyusup pemikiran rakyat di Tanah Melayu sehingga menjelang kemerdekaan negara pada 1957, bukan karya jelek seperti cuba digembar-gemburkan.

Interlok adalah sebuah karya sarat dengan perpaduan tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India serta sememangnya memenuhi aspirasi gagasan 1Malaysia janaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta boleh dirumuskan bahawa Abdullah mendahului zaman berhubung perkara terbabit.

Penentangan terhadap Interlok dengan melabelkannya sebagai negatif turut memaparkan iri hati individu tertentu yang mengapi-apikan keadaan kerana novel itu adalah karya kedua Abdullah yang dijadikan teks, selepas Konserto Terakhir diangkat sebagai karya wajib KOMSAS wilayah tengah bermula 2000 sehingga 2010.

Agaknya kelompok yang dimaksudkan itu sudah berkira-kira honororium yang diperoleh Abdullah iaitu melebihi RM80,000 pada tahun pertama ia menjadi teks dan habuan sedemikian sememangnya diharapkan semua pengarang kreatif negara kerana ia rezeki terpijak, ekoran tidak banyak novel berpeluang masuk dalam senarai laris di pasaran!

Cukup-cukuplah bertegang urat untuk menegakkan benang yang basah atas perkara remeh ini kerana istilah yang dikatakan sensitif itu disebut pengarang Interlok secara sepintas lalu dan sememangnya tercipta di negara leluhur kaum India, di samping pengarang Interlok tidak menulisnya dengan matlamat memberi konotasi negatif!

Bacalah Interlok dari awal sehingga akhir dengan hati yang terbuka dan usahlah membuat andaian pelajar tidak bijak menilai, apalagi mereka yang datang dari wilayah tengah iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya kerana teknologi hari ini memungkinkan mereka ‘meneroka’ segala-galanya tanpa batasan.

Mengapa mesti menafikan keupayaan pelajar apalagi mereka yang terbiasa terdedah dengan pelbagai perkara dan pergaulan pelbagai bangsa kerana hakikatnya kelompok ini amat tipis sentimen perkauman berbanding yang berlegar dalam kelompok sendiri!

Terimalah cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, atas tolak ansur yang dicadangkan kerana sebagai pengarang tentu kita sendiri tidak mahu karya kita dicantas, diubah apalagi diputar belitkan kerana tindakan itu sama seperti memperkosa teks dan tidak menghormati kebebasan pengarang.

Kalau tidak kerana kehebatan karya dan sumbangannya kepada dunia sastera tanah air, sudah pasti Abdullah tidak akan dinobatkan sebagai SN dan relakan pengarang itu hidup menghabiskan usia senjanya dengan tenang serta terimalah hakikat setiap daripada rakyat Malaysia mempunyai sejarah susur galur keturunan mereka.

Rujuk - [B.Harian-27/1/11]

No comments: