5.5.11

Kajian kurikulum Sejarah tidak wajar cetuskan prasangka buruk rakyat

2011/05/05
TRANSFORMASI pendidikan membabitkan kurikulum sekolah rendah dan menengah membuktikan kerajaan amat prihatin dengan perkembangan pendidikan disediakan untuk rakyat. Langkah itu dilakukan secara menyeluruh bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang akademik dan kokurikulum, malah bertujuan membentuk masyarakat patriotik yang mampu mengamalkan semangat perpaduan. Kajian semula kurikulum, khususnya bagi mata pelajaran Sejarah tentunya mengambil kira beberapa perkara yang boleh membentuk keperibadian pelajar yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Justeru, adalah penting dalam melakukan transformasi ini, apa juga fakta tidak tepat diperbetulkan dan diselaraskan agar tidak timbul perasaan tidak puas hati mana-mana golongan dalam masyarakat apabila Sejarah menjadi antara mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Langkah mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji maklum balas dan pandangan semua pihak termasuk guru, pelajar, pensyarah maktab perguruan dan penyelidik di pusat pengajian tinggi adalah langkah bijak dan kena pada masanya.

Jawatankuasa dianggotai 10 tokoh akademik mewakili semua kaum itu, termasuk dari Sabah dan Sarawak serta pakar perundangan diberi tempoh setahun menyemak semula kurikulum mata pelajaran Sejarah sejajar Dasar Pendidikan Kebangsaan serta hasrat kerajaan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Antara lain jawatankuasa itu dikehendaki menentukan hala tuju perkembangan kurikulum mata pelajaran Sejarah untuk merealisasikan keperluan semasa dan cabaran masa depan. Ia juga akan mengkaji kesesuaian kandungan kurikulum buku teks Sejarah sedia ada dan kesan hasil pembelajaran subjek itu terhadap penghayatan dan pengamalan perpaduan serta semangat patriotisme, terutama di kalangan generasi muda dewasa ini. Sebagai langkah memperbaiki maklumat yang mungkin memerlukan pembetulan, adalah wajar jawatankuasa berkenaan melihat semula ketepatan fakta dalam kurikulum dan buku teks sebelum membuat perakuan mengenai hasil kajian itu kepada Menteri Pelajaran. Sesuai dengan hasrat kementerian mewajibkan setiap pelajar lulus subjek Sejarah pada peringkat SPM, adalah wajar semua pihak memberi kepercayaan penuh kepada jawatankuasa dilantik dan tidak sepatutnya mencetuskan sebarang prasangka buruk mana-mana kaum agar matlamat kerajaan dapat dicapai.
Seperti kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, matlamat kurikulum Sejarah yang akan diperkenalkan kelak, harus mampu melahirkan pelajar yang cintakan tanah air, sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara sejajar gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri. Kajian itu adalah juga sebahagian daripada transformasi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang diguna pakai sekarang. Mulai 2014 Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang mula diguna pakai pelajar Tingkatan Satu, sementara Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) membabitkan murid Tahun Satu. Bagaimanapun, murid yang memasuki Tahun Satu tahun ini akan mempelajari mata pelajaran Sejarah buat pertama kali di sekolah rendah apabila mereka melangkah ke Tahun Empat. Langkah ini menggantikan mata pelajaran Kajian Tempatan yang dipelajari sekarang bagi menerapkan nilai kewarganegaraan di kalangan generasi muda yang semakin terhakis.

No comments: